PENDUDUK Palestin mencari mangsa di tapak bangunan kediaman yang runtuh di Khan Younis, selatan Gaza. FOTO Reuters.
PENDUDUK Palestin mencari mangsa di tapak bangunan kediaman yang runtuh di Khan Younis, selatan Gaza. FOTO Reuters.
Agensi

Baitulmaqdis: Siri pengeboman kejam Israel di Semenanjung Gaza bukan hanya menyasarkan Hamas, tetapi sebahagian fasiliti yang dibiayai dermawan asing.

Menurut pejabat media kerajaan Gaza, lebih 5,600 unit rumah musnah manakala 9,000 unit lagi selain 160 sekolah rosak dalam serangan bertubi Israel sejak 7 Okt.

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, 40 kemudahan yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) rosak akibat serangan udara rejim Zionis.

Hampir setengah juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, dijangka berlindung di 93 sekolah yang dikendalikan PBB di Gaza, kata agensi PBB itu.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan 170 kemudahan kesihatan yang dibiayai oleh penderma asing dibom Israel.

Minggu lalu, Hospital Gaza Eropah yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah (EU) mengalami kerosakan akibat serangan udara Israel di wilayah dalam kepungan itu.

Ia susulan serangan ke atas Hospital Al-Ahli Baptist di selatan Gaza yang menyebabkan sekurang-kurangnya 471 individu terkorban, lapor Kementerian Kesihatan Gaza.

Israel bagaimanapun menafikan bertanggungjawab terhadap pengeboman hospital, namun tindakan tenteranya memberi amaran sebelum serangan dibuat, menguatkan lagi kekejaman Israel dalam kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 3:35 PM