ORANG ramai meraikan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza. FOTO AFP
ORANG ramai meraikan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza. FOTO AFP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Laungan takbir dan jeritan keseronokan bergema di Gaza menandakan kemenangan yang dijanjikan dan ditunggu-tunggu telah tiba, Allahuakbar, Allahuakbar."

Demikian perkongsian suasana di Gaza ketika ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Nadir Al Nuri Kamarulzaman yang juga wakil tunggal negara di Palestin selepas Israel dan pejuang Hamas mengumumkan gencatan senjata hari ini

Serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza selama 11 hari menyebabkan 232 rakyat Palestin maut termasuk 65 kanak-kanak dan 1,900 cedera.

Nadir juga turut berkongsi beberapa video rakyat Palestin meraikan kemenangan itu menerusi saluran Telegram rasminya.

Menerusi siaran langsung dari Gaza itu, kelihatan rakyat Palestin buat pertama kali berkereta memenuhi jalanan sambil membunyikan hon dan orang ramai menjalani kehidupan biasa, malah beberapa das tembakan turut kedengaran bagi meraikan gencatan senjata itu.

Buat kali pertama, tiada siren amaran dibunyikan di Israel bagi memberi amaran mengenai serangan roket Hamas, sekali gus menjadi petanda gencatan senjata itu dipatuhi kedua-dua belah pihak.

AFP melaporkan, rejim Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza, sejak 10 Mei lalu, selepas pejuang Hamas melancarkan roket ke arah wilayah dikuasai Israel.

Ia selepas Hamas memberi kata dua kepada Israel untuk mengundurkan pasukan keselamatannya yang bertempur dengan penunjuk perasaan warga Palestin di Masjid al-Aqsa.

Penunjuk perasaan terbabit sebelum itu berhimpun di masjid berkenaan untuk menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim zionis mengusir keluarga Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Serangan udara itu turut menyebabkan satu-satunya makmal Covid-19 di Semenanjung Gaza, wilayah yang dikenakan sekatan oleh Israel, tidak dapat beroperasi.

Menurut pihak berkuasa Hamas, konflik itu menyebabkan 120,000 penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 4:51 PM