KANAK-KANAK Palestin berkumpul di hadapan bangunan Katibah berhampiran pusat bandar Gaza untuk menyatakan bantahan terhadap serangan Israel yang meragut nyawa dua rakan mereka. FOTO NSTP
KANAK-KANAK Palestin berkumpul di hadapan bangunan Katibah berhampiran pusat bandar Gaza untuk menyatakan bantahan terhadap serangan Israel yang meragut nyawa dua rakan mereka. FOTO NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: “Tentera rejim Israel tidak pernah melihat pembunuhan kanak-kanak itu suatu kesalahan jenayah.”

Demikian luahan satu-satunya rakyat Malaysia di Gaza, Palestin, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman berhubung tindakan serangan Israel, minggu lalu yang mengorbankan dua remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun.

Muhammad Nadir berkata, ketika kejadian, remaja berkenaan bermain di atas sebuah bangunan di Katibah berhampiran pusat bandar Gaza.

Menurutnya, serangan udara yang dilancarkan tentera rejim Zionis mengakibatkan lebih 20 penduduk cedera dan dirawat di pusat rawatan berhampiran.

“Semalam (kelmarin), kanak-kanak Gaza berhimpun di hadapan bangunan Katibah yang dibom tentera rejim dan menyatakan bantahan terhadap pembunuhan dua rakan mereka.

“Bom yang dilepaskan tentera rejim sememangnya disasarkan kepada penduduk awam dan bukan seperti dakwaan mereka kononnya untuk melumpuhkan lokasi strategik Hamas.

“Kanak-kanak ini juga menyatakan hak mereka untuk menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain tanpa perasaan takut atau bimbang berhubung serangan mengejut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya yakin tentera rejim tidak beranggapan bahawa membunuh kanak-kanak sebagai jenayah dan demonstrasi kanak-kanak Gaza ini lebih kepada usaha untuk meraih perhatian antarabangsa.

Menurutnya, mereka mahu menarik perhatian masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama dengan kanak-kanak Gaza dan menyatakan bantahan terhadap tindakan terbaru Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 9:43 AM