PETIKAN gitar padu dari Andra mengiringi persembahan Ello.
PETIKAN gitar padu dari Andra mengiringi persembahan Ello.
Riadz Radzi dan Ramlah Zainal

Selepas sukses dengan Konsert Ulang Tahun ke-30 Dewa 19 pada September tahun lalu, Dewa 19 sekali lagi hadir ke Axiata Arena, Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Kali ini mereka tampil berbeza di mana kumpulan rock legenda Indonesia itu diiringi 54 pemuzik orkestra Malaysia dan dipimpin konduktor muzik Indonesia, Guntur Nur Puspito.

Konsert dinamakan Dewa 19-A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia itu tentunya sesuatu yang baharu buat lebih 7,000 peminat Dewa 19 yang membanjiri Axiata Arena.

Dalam sidang media sehari sebelum konsert, ketua kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani berkata, konsert dengan iringan orkestra itu menampilkan sisi berbeza kumpulan berkenaan.

"Ada lagu yang boleh didengar secara serius dan bukan hiburan semata-mata. Ia boleh dikatakan seolah-olah muzik orkestra membaluti muzik Dewa 19," katanya.

Seperti tahun lalu, selain Dhani selaku pemain keyboard dan penyanyi, Dewa 19 hadir dengan Ari Lasso (penyanyi), Andra Ramadhan (gitar), Yuke Sampurna (bass) dan Agung Yudha (dram).

Mereka turut disertai pemain dram undangan, Tyo Nugros dan dua penyanyi yang semakin 'cocok' dengan Dewa 19 iaitu Virzha dan Ello yang juga digilai ramai peminat wanita!

ELLO juga digilai ramai peminat wanita.
ELLO juga digilai ramai peminat wanita.

Malang sekali, kali ini mereka tidak disertai Once yang kini bukan lagi penyanyi jemputan Dewa 19. Ramai yang kecewa, namun menerusi laporan media Indonesia, Dhani memaklumkan Once tidak bersama dalam konsert itu kerana dia mahu melakukan kelainan.

Namun, ketiadaan Once tempoh hari dipercayai berhubung 'konflik'nya dengan Dhani yang melarang Once menyanyikan lagu Dewa 19 yang dicipta Dhani ketika mengadakan persembahan solo.

Menurut Dhani, Once perlu membayar royalti kepadanya jika mahu menyanyikan lagu Dewa 19 ciptaannya.

Apa pun, ketiadaan Once tidak menjejaskan persembahan Dewa 19 malam itu walaupun mereka banyak membawakan lagu nyanyian Once.

Hakikatnya, lima daripada sembilan album studio Dewa 19 menampilkan Once sebagai penyanyi utamanya.

Kekosongan itu diisi dengan baik oleh Ello yang menyanyikan lagu asal nyanyian Once seperti Arjuna, Sudah dan Pupus.

Begitu juga dengan Virzha yang suaranya mirip Once dengan lagu seperti Pangeran Cinta, Dewi, Risalah Hati, Lagu Cinta dan Kosong.

Malah, Virzha yang disenangi penonton dengan wajah 'ganteng'nya turut mencuit hati penonton apabila cuba bertutur dalam lenggok bahasa orang Malaysia.

Penulis berasakan orang paling layak di posisi penyanyi Dewa 19 tak lain tak bukan ialah penyanyi asalnya, Ari Lasso.

DHANI tidak ketinggalan menunjukkan ‘taringnya’ sebagai penyanyi.
DHANI tidak ketinggalan menunjukkan ‘taringnya’ sebagai penyanyi.

Ramai yang bersetuju sebenarnya kerana apabila Ari muncul di pentas, sorakannya sangat luar biasa.

Selaku anggota asal, pastinya Ari memiliki karisma tersendiri, lebih-lebih apabila bergabung dengan Dhani dan Andra yang sudah bersama sejak awal kemunculan Dewa 19 lagi.

Lagu dari empat album awal Dewa 19 seperti Dewa 19, Format Masa Depan, Terbaik Terbaik dan Pandawa Lima cukup sinonim dengan Ari.

Namun, agak kecewa juga kerana Ari hanya menyanyikan tiga lagu dari empat album itu iaitu Cintakan Membawamu Kembali, Kirana, Kirana serta single Persembahan Dari Surga dari album kompilasi mereka.

Selebihnya dia menyanyikan lagu yang asalnya dinyanyikan Once seperti Hadapi Dengan Senyuman (bersama Dhani), Satu, Dua Sedjoli, Roman Picisan dan Separuh Nafas.

Penulis juga kecewa kerana Ari tidak menyanyikan lagi Elang, tetapi Ello pula yang menyanyikannya. Bagi penulis, Elang antara lagu terbaik Dewa 19 nyanyian Ari.

Dhani yang juga 'mastermind' Dewa 19 tidak ketinggalan menunjukkan 'taringnya' sebagai penyanyi. Selain mencipta hampir semua lagu Dewa 19, Dhani banyak menyumbang suara untuk album mereka termasuk berpadu suara dengan Ari dan Once.

ARI (kanan) bersama Andra.
ARI (kanan) bersama Andra.

Malah, dia memukau dengan lagu seperti Could This Be Magic, Aku Cinta Kau Dan Dia (daripada band projeknya, Ahmad Band), My Way, Sedang Ingin Bercinta, Madu Tiga dan Hadapi Dengan Senyuman (bersama Ari).

Apa yang pasti, individu yang paling mendapat sorakan pada malam itu ialah pemain dram, Tyo Nugros.

Setiap kali layar di kiri kanan pentas memaparkan wajahnya, seluruh Axiata Arena bergema dengan sorakan peminat wanita.

Bak kata Ello, Tyo adalah 'drummer' paling 'ganteng'. Tyo yang sudah berusia 53 tahun itu tampaknya masih berbisa apabila mampu 'mencairkan' peminat wanita.

Tidak ketinggalan, Dewa 19 turut bekerjasama dengan tiga penyanyi popular tanah air iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi.

Shila menghiburkan penonton dengan lagu Immortal Love Song dan Jaclyn pula dengan lagu Bukan Cinta Manusia Biasa.

Shila dan Jaclyn turut berduet menerusi lagu Begitu Salah Begitu Benar dan pada pandangan penulis gandingan ini kurang sesuai dan 'bingit'.

Namun, gandingan Ello dan Amir pula nampak serasi dan disukai menerusi lagu Bohemian Rhapsody (nyanyian asal Queen), sekali gus mendapat sorakan penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 6:00 AM