Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Pelbagai reaksi dan teori konspirasi timbul susulan penularan klip video memaparkan objek asing bercahaya melintasi ruang udara sekitar ibu negara, di sini, dipercayai dirakam Rabu lalu.

Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT), Profesor Madya Mejar Bersekutu Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, tanpa perincian saintifik, tidak dapat dipastikan apa sebenarnya objek asing berkenaan.

"Berdasarkan video tular berkenaan objek bercahaya itu mempunyai trajektori yang ganjil dari segi penerbangan pesawat kerana ia menjunam pada sudut yang amat menegak pada halaju yang tinggi.

"Lazimnya ini tidak dilakukan oleh sebuah pesawat pada penerbangan normal dan hanya berlaku jika pesawat mengalami kerosakan atau kecelaruan atau hanya dilakukan pada pameran aerobatik," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, objek asing berkenaan bercahaya tidak seperti pesawat normal dan pengeluaran haba dari objek itu menunjukkan kemungkinan berlaku kebakaran di keseluruha permukaannya.

"Adalah mustahak untuk kita melakukan 'flame analysis' terhadap objek terbabit untuk mengetahui lebih lanjut tentang objek berkenaan di atas faktor keselamatan ruang udara negara.

"Lazimnya 'flame analysis' dapat dilakukan menggunakan 'fuzzy logic' atau 'neural network' di mana nyalaan api diperincikan dari segi nilai cahaya, spektrum, halaju nyalaan, stabiliti, dan sebagainya bagi mengenal pasti ciri-ciri objek berknaan menggunakan kaedah saintifik yang berstruktur," katanya.

Terdahulu media melaporkan satu rakaman video yang memaparkan objek asing bercahaya melintasi ruang angkasa negara pada malam Rabu lalu tular, sehingga mengundang pelbagai 'teori' oleh pengguna media sosial.

Klip video yang tular di media sosial selepas dimuat naik pengguna Tik Tok bernama Styfly Malaysia selain dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp.

Pemilik video itu merakam objek asing itu dipercayai menggunakan perakam berteknologi tinggi sewaktu pertunjukan bunga api menjelang sambutan kemerdekaan negara ke-66, yang berlatarbelakangkan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 3:35 PM