PEGAWAI LPTA memeriksa objek dipercayai serpihan roket China yang ditemui di Sepupok. FOTO ihsan Bomba
PEGAWAI LPTA memeriksa objek dipercayai serpihan roket China yang ditemui di Sepupok. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


Kuching : Pemeriksaan awal Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) terhadap objek dipercayai serpihan roket Long March 5B China, yang ditemui di Sepupok, Batu Niah, di Miri, mendapati tiada radiasi radioaktif di lokasi terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan, 4.50 petang semalam meminta khidmat khas membantu LPTA membuat pemeriksaan di lokasi.

Beliau berkata, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikerah ke lokasi untuk memberi sebarang khidmat bantuan.

"Tiga pegawai LPTA Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tiba di lokasi penemuan objek itu kira-kira 5 petang.

"Selepas membuat pemeriksaan, pegawai LPTA memaklumkan tiada radiasi dikesan pada objek terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pegawai LPTA kemudiannya mengambil objek terbabit untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, objek berukuran lima meter dipercayai serpihan roket berkenaan turut ditemukan penduduk di kawasan kebun kelapa sawit di Desa Pengadang, Balai Karangan, Kalimantan Barat, Indonesia yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Kuching.

Difahamkan pasukan penyiasat dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) sudah membuat pemeriksaan di lokasi penemuan itu.

Penduduk Sarawak dikejutkan beberapa objek bercahaya terang yang kelihatan terbang di ruang angkasa diikuti dengan bunyi seperti guruh, tengah malam Sabtu lalu.

Beberapa rakaman video kejadian itu yang dilihat di Kuching, Samarahan, Mukah, Bintulu dan Miri kemudian tular di media sosial.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan serpihan roket itu terbakar ketika memasuki atmosfera Bumi dan melintasi ruang udara Malaysia termasuk Sarawak.

Menurut kenyataan MYSA apda Ahad lalu, serpihan itu dipercayai jatuh di sekitar Laut Sulu, di kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 10:45 AM