TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan objek asing bercahaya di ruang udara di ibu negara.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan objek asing bercahaya di ruang udara di ibu negara.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Objek asing bercahaya yang dirakam di ruang udara di ibu negara pada malam ambang merdeka pada 30 Ogos lalu terus menjadi tanda tanya.

Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) ketika dihubungi berkata, berdasarkan siasatan terperinci mendapati tiada bukti menunjukkan bahawa objek asing berkenaan objek dari angkasa seperti komet, meteor atau asteroid.

Menurutnya, objek asing yang dirakam berkenaan berkemungkinan besar terjadi susulan pelbagai aktiviti manusia di sekitar kawasan terbabit.

"Sehingga kini, badan-badan pemantau utama antarabangsa berkaitan objek angkasa seperti The Center for Near-Earth Object Studies (CNEOS) dan International Meteor Organization (IMO), tidak mengesan atau melaporkan sebarang kemasukan objek angkasa.

"Semakan dengan Centre for Orbital and Re-entry Debris Studies (Cords) yang memantau sebarang kemasukan serpihan objek angkasa pula, tidak mengesan sebarang aktiviti kemasukan semula serpihan angkasa pada tarikh itu," katanya kepada Harian Metro.

Mysa berkata, objek itu juga tiada kaitan dengan fenomena Hujan Meteor Perseids yang berlaku antara 17 Julai hingga 24 Ogos lalu.

Katanya, tiada fenomena angkasa diramalkan berlaku pada tarikh terbabit kecuali Komet C/2023 P1 (Nishimura) yang diramal akan kelihatan di bahagian timur Malaysia bermula pertengahan Ogos sehingga 7 September.

"Sungguhpun begitu komet berkenaan hanya boleh dilihat pada waktu sebelum subuh (kira-kira satu jam sebelum matahari terbit.

"Sehubungan itu, buat masa ini pihak Mysa tidak menemui bukti kukuh mengaitkan kejadian yang dirakam melalui video berkenaan dengan mana-mana fenomena atau kemasukan objek dari angkasa," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, pelbagai reaksi dan teori konspirasi susulan penularan klip video memaparkan objek asing bercahaya melintasi ruang udara di sekitar ibu negara.

Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT), Profesor Madya Mejar Bersekutu Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, tanpa perincian saintifik, tidak dapat dipastikan apa sebenarnya objek asing berkenaan.

Katanya, objek bercahaya itu mempunyai trajektori yang ganjil dari segi penerbangan pesawat kerana ia menjunam pada sudut yang amat menegak pada halaju yang tinggi.

Objek asing berkenaan bercahaya tidak seperti pesawat normal dan pengeluaran haba dari objek itu menunjukkan kemungkinan berlaku kebakaran pada keseluruhan permukaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 10:36 AM