Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Tugas Pak Su jaga adik dah selesai, amanah arwah emak, Pak Su dah tunaikan," demikian luahan Kassim Rashid, 63, bapa saudara Allahyarham Muhammad Fikri Saliman sebaik menatap wajahnya buat kali terakhir hari ini.

Kassim adalah adik bongsu kepada arwah Zaiton Rashid yang diamanahkan menjaga tiga beradik termasuk arwah Muhammad Fikri selepas kakaknya itu meninggal dunia, dua tahun lalu.

Menurutnya, arwah Muhammad Fikri sangat mesra dengannya malah turut diminta menjadi wakil kepada keluarga ketika meminang tunangnya, arwah Putri Balqis Izzati Abd Rahman pada Februari lalu.

"Arwah bersama dua abang dan kakak anak yatim piatu. Sepanjang hayat ibunya, dia selalu pesan supaya menjenguk anak-anaknya jika ketiadaan mereka.

"Sejak pemergian ibunya, sayalah tempat mereka mengadu malah saya anggap mereka seperti anak sendiri.

"Sebaik mendapat tahu dia dan keluarga bakal mentua ditimpa tragedi kepala air di Terengganu, saya tidak lena tidur," katanya ketika ditemui pada pengebumian Muhammad Fikri di Tanah Perkuburan Parit Kadir, di sini, hari ini.

Katanya, dia tidak mampu melawan takdir selepas dimaklumkan pemergian anak saudaranya itu.

"Muhammad Fikri mengikut jejak ibunya ke negeri abadi. Hati saya sebak sebaik melihat jenazahnya.

"Dalam hati saya berkata, amanah yang diberikan sudah selesai, dia akhirnya berjumpa ibu, bapa serta kakak dan anak saudaranya di sana," katanya.

Dalam pada itu, Kassim berkata, arwah sudah memberitahu mahu membawanya sekali lagi di majlis perkahwinan dengan Puteri Balqis hujung tahun ini.

"Selepas bertunang, arwah juga ada memberitahu saya untuk mewakilkan keluarga, tapi nampaknya hasrat arwah tidak kesampaian.

"Sepanjang dia dilaporkan hilang, saya pernah bermimpi arwah datang menunjukkan wajahnya pada saya. Itulah yang membuatkan saya sebak sehinggalah dimaklumkan penemuan jasadnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 12:06 PM