Zuliaty Zulkiffli


Pokok Sena: "Sejak semalam, anak ketiga arwah, Nurul Jannah Noor Azmi, 7, mencari ibunya. Kami hanya mampu memujuknya walaupun pada hakikatnya ibunya sudah meninggal dunia.

"Nurul Jannah, anak istimewa (sindrom Down) dan dia sangat rapat dengan arwah tetapi apabila kakak bertugas di Lubnan, dia tinggal bersama bapanya, Noor Azmi Ariffin, 39, yang juga abang ipar saya," kata Hafyzoh Abd Rahman, 21.

Hafyzoh adalah adik kepada Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) dari Malaysian Battalion 850 -11 (Malbatt 850-11) bagi Misi Pasukan Nations Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang meninggal dunia akibat serangan jantung, Sabtu lalu.

Allahyarham dikatakan rebah sebaik turun dari bas di Kem Marakah, sejurus tiba di Lubnan selepas bercuti di Malaysia.

Bagaimanapun Hafyzoh berkata, anak bongsu arwah kakaknya, Ainur Mardiah, 4, pula sudah tahu bahawa ibu mereka sudah tiada (meninggal dunia).

"Buat masa ini, saya yang jaga dua mereka selain dua lagi anak arwah, Nurul Shifa Noor Azmi, 13, dan Muhammad Afnan, 10, memandangkan abang ipar masih menguruskan banyak urusan lain.

"Apapun kami sekeluarga reda dengan pemergian kakak," katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Al Anwar, Kampung Tengah, selepas selepas pengebumian jenazah Faridah, hari ini.

Mengenang kembali kenangan bersama arwah, kakaknya sempat membalas kiriman WhatsApp, 'tengok-tengok sampai kain putih saja macam mana, nak sangat buat kejutan'.

Katanya, dia berasa sayu apabila mengenangkan kembali kata-kata kakaknya itu dan langsung tidak menyangka ia menjadi kenyataan.

Dalam pada itu, suasana bertukar pilu apabila empat anak Allahyarhamah menangis ketika pengebumian ibu mereka, pagi tadi.

Malah, suami arwah, Noor Azmi Ariffin, 39, juga kelihatan sebak ketika bendera Malaysia dan PBB diserahkan oleh Panglima Angkatan Tentera Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Akmar Mohd Dom.

Jenazah Faridah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar Kampung Tengah pada jam 10.20 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 12:44 PM