PENGURUS Besar Yayasan Pahang  Datuk Mahmud Mohd Nawawi bertemu dengan Ashniwati (duduk) dan anaknya di Kompleks YP selepas beli-belah baju raya.
PENGURUS Besar Yayasan Pahang Datuk Mahmud Mohd Nawawi bertemu dengan Ashniwati (duduk) dan anaknya di Kompleks YP selepas beli-belah baju raya.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Kuantan: “Inilah harta saya dunia dan akhirat dan kenangan yang ditinggalkan arwah kepada saya.

“Berikan saya masa, ruang dan peluang untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil ini dan tolong doakan saya berjaya mengharungi keadaan yang amat sukar sekarang,” kata ibu tunggal, Ashniwati Abdul Rahman, 30.

Raut wajahnya yang bersahaja dan senyuman terukir di bibir membuatkan tiada siapa menyangka dia bergelut dengan situasi sukar untuk membesarkan tujuh anak selepas suami tercinta, Mohd Nasir Mohd Fazrin, 44, meninggal dunia pada 25 Jun lalu kerana ketumbuhan di bahagian perut.

Arwah suami Ashniwati sebelum itu bekerja kontrak di Pasar Borong Kuantan, di sini, dengan pendapatan harian RM50.

Ibu tunggal itu menetap di rumah ibunya di Perumahan Rakyat Kampung Pak Mahat, Tanjung Lumpur, di sini.

Ashniwati risau memikirkan nasib dan masa depan anaknya termasuk bayi perempuan, Nur Asnina Qana’ah yang baru berusia 16 hari.

Enam lagi anaknya, Nur Asnina Balqis Mohd Nasir,12, Nur Asnina Suraya, 10, Nur Asnina Jannah,7, Nur Asnina Humairah, 5, Muhammad Firdaun Iman, 3, dan Nur Asnina Mashitah berusia setahun.

“Sesukar mana sekali pun, saya tetap akan membesarkan semua anak kami, kerana arwah suami sebelum meninggal dunia sempat meninggalkan pesan supaya tidak menyerahkan anak kepada orang lain.

“Saya akan ingat pesanan arwah suami dan menjaga amanahnya dengan penuh kasih sayang dan memberi kehidupan terbaik untuk mereka,” katanya.

Ashniwati ditemui ketika membawa semua anaknya membeli pakaian raya selepas nama mereka disenaraikan Kelab Keluarga Yayasan Pahang (YP) sebagai penerima sumbangan, kelmarin.

Harian Metro pada 30 Jun lalu menyiarkan kisah Ashniwati yang kematian suami secara mengejut selepas berlaku pendarahan serius apabila ketumbuhan di bahagian perutnya pecah tanpa sempat menerima rawatan.

Ashniwati yang masih berpantang sukar bekerja kerana perlu menjaga anak yang masih kecil dan berharap kepada ibunya, Lijah Besar, 61, untuk menguruskan anaknya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Ashniwati di talian 017 9012080.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:11 AM