MOHAMAD Daniel (duduk, kiri) dan adik-beradiknya ketika menerima kunjungan Tuminah (kanan) di Taman Tangga Batu Perdana, Tanjung Kling. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
MOHAMAD Daniel (duduk, kiri) dan adik-beradiknya ketika menerima kunjungan Tuminah (kanan) di Taman Tangga Batu Perdana, Tanjung Kling. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: "Pastinya saya dan adik rindukan nasi minyak yang mama masak. Itulah menu yang paling enak dan istimewa mama sediakan setiap kali hari raya," ujar Mohamad Daniel Mohd Radzi, 18, ketika ditanya kenangan bersama ibunya, Rubiah Sabtu, 41, yang maut disyaki dibunuh suaminya sendiri dengan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun, Terengganu, 5 April lalu.

Anak sulung daripada tujuh beradik berusia tiga bulan hingga 18 tahun itu berkata, selain nasi minyak, masakan sup ayam juga menjadi 'air tangan' istimewa arwah ibunya untuk hidangan sekeluarga di Aidilfitri.

"Banyak kenangan jika hendak diimbau, tetapi memang seronok beraya bersama mama ke rumah saudara-mara di kampung.

"Tahun ini buat pertama kali kami terpaksa beraya tanpa mama, namun saya tetap reda.

"Diikutkan mama rancang untuk beli baju kurung dan baju Melayu tahun ini dengan tema warna biru. Tahun lalu kami pakai baju raya warna ungu," katanya ketika ditemui di rumah datuknya di Taman Tangga Batu Perdana, Tanjung Kling, baru-baru ini.

Mohamad Daniel bersama adik keduanya, Mohamad Danish Hakim, 15, dan adik bongsu berusia tiga bulan tinggal bersama bapanya di Terengganu manakala empat lagi adiknya kini dijaga datuk dan nenek mereka di sini.

Terdahulu, keluarga itu diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor Tuminah Kadi yang menyalurkan bantuan termasuk membawa enam beradik terbabit membeli baju raya di bazar Ramadan di Klebang.

Mohamad Daniel berkata, ibunya seorang yang penyayang dan kerap berpesan supaya menjaga adik-adiknya dengan baik jika arwah sudah tiada.

"Mama pesan jaga adik 'molek' (elok-elok). Sebab itu saya sentiasa pastikan sentiasa bersama mereka.

"Bimbang juga jika mereka bersedih dengan kehilangan mama. Alhamdulillah, setakat ini adik-adik saya faham dan dapat terima. Namun, saya tidak tahu jika mereka simpan dalam hati," katanya.

Untuk rekod, Rubiah mempunyai enam anak hasil perkahwinan terdahulu sebelum berpisah dengan suami pertamanya, Mohd Radzi Aziz, 38.

Dia dikurniakan seorang anak berusia tiga bulan selepas berkahwin semula kira-kira setahun lalu.

Sementara itu, nenek Mohamad Daniel, Wan Zaini Wan Abdullah, 60, berkata, walaupun arwah sudah bercerai, namun hubungannya dengan bekas menantunya itu kekal terjalin erat.

"Malah kami juga sentiasa berhubung dan mak cik anggap dia macam anak kandung sendiri.

"Memang terkilan dan sedih dengan kejadian yang berlaku dan sampai hari ini masih terasa tetapi kita sebagai orang Islam kena reda.

"Allah SWT sudah tentukan kehidupan mak cik dan macam mana sekali pun kena terima perjalanan hidup kita," katanya.

Dalam kejadian 5 April lalu, mangsa maut dipukul suaminya menggunakan tukul di sebuah rumah di Bukit Besi, Terengganu, sekitar jam 8 pagi.

Mangsa sebelum itu dikatakan menghantar anaknya ke sekolah sebelum berlaku perselisihan faham di antara mangsa dan suspek berusia 32 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 7:10 AM