Amir Abd Hamid


Herat: Kereta sorong biasanya digunakan di Malaysia untuk mengangkut bahan binaan.

Namun alat beroda satu itu menjadi punca rezeki puluhan kanak-kanak Afghanistan yang setia menunggu pengembara di lokasi tak jauh daripada selepas pintu keluar Terminal Polis Imigresen dan Pasport Dogharoon, Taybad, Iran ke laluan tanah sempadan menuju Islam Qala, Afghanistan, di sini.

Pemandangan kanak-kanak kepenatan berlari anak membawa beg pengembara di atas kereta sorong menunjukkan betapa gigihnya golongan cilik itu untuk ikhtiar hidup di bumi yang sudah menempuh empat dekad konflik bersenjata.

Itu antara yang dapat disaksikan rombongan Muslim Care Malaysia (MCM) untuk misi Kembara Ramadan Afghan selepas memasuki Afghanistan dari sempadan darat Iran.

Jika ada yang tidak larat berjalan, kanak-kanak berkenaan juga sanggup membawa individu itu menggunakan kereta sorong.

Pekerja cilik itu akan datang mendekati pengembara dengan harapan khidmat mereka diperlukan membawa apa sahaja untuk melintasi kawasan kira-kira 500 meter antara Iran dan Afghanistan.

Selain menolak kereta sorong, ada juga budak yang akan mendekati pengembara untuk menjual pelitup muka dibawa mereka dan Safiullah, 10, adalah antaranya.

Pada Mac lalu, Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan hanya dua peratus daripada penduduk Afghanistan mempunyai makanan yang mencukupi.

Lebih tiga juta kanak-kanaknya pula menghadapi masalah kekurangan zat makanan, manakala sejuta orang lagi dijangka mati akibat kelaparan.

KELIHATAN sebahagian kanak-kanak Afghanistan menunggu beg dengan kereta sorong untuk diserahkan kepada pengembara. FOTO Aswadi Alias
KELIHATAN sebahagian kanak-kanak Afghanistan menunggu beg dengan kereta sorong untuk diserahkan kepada pengembara. FOTO Aswadi Alias

Memburukkan keadaan apabila Bank Dunia menggantung penyaluran bantuan kewangan kepada Afghanistan selepas Taliban menguasai negara ini.

Sekatan berlaku selepas Amerika Syarikat (AS) mengundurkan sepenuhnya tenteranya Ogos lalu dari negara ini yang bermula di Afghanistan sejurus selepas 11 September 2001.

Sumbangan untuk rakyat Afganistan boleh disalurkan secara atas talian melalui pautan https://infaqpay.my/plus/care4afghan-mcm atau melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 , Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.

Orang ramai turut boleh menghubungi Presiden MCM, Zulkifli Wahijan di talian 0192518771: Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail di talian 0169978323 atau Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar ditalian 0134886447.

Ketika ini Kembara Ramadan Afghan atau Care4Afghan 2.0 membawa amanah rakyat Malaysia termasuk menaja iftar golongan tidak berkemampuan, projek air bersih menerusi telaga tiub, program memperkasakan wanita Afghanistan menerusi latihan kemahiran jahitan dengan bekalan mesin jahit dan membangunkan masjid pertama Malaysia di Kabul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 9:52 AM