Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kabul: Menyedari musim sejuk ekstrim bakal melanda Afghanistan tidak lama lagi, pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) segera mengambil inisiatif menderma hampir 700 baju sejuk kepada penghuni kem pelarian perang di kawasan Adimazar di sini.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, pengagihan 700 baju sejuk itu adalah hasil sumbangan ikhlas rakyat Malaysia melalui kempen 'Care4Afghan' khusus untuk penduduk Afghanistan yang berdepan krisis kebuluran dan musim sejuk,

Beliau berkata, kesejukan melampau boleh menyebabkan penghuni di kem itu diserang hipotermia hingga boleh membawa kepada kematian.

"Menyedari kesukaran bakal dihadapi, MCM segera membelikan hampir 700 baju sejuk untuk didermakan kepada bayi dan kanak-kanak yang menghuni kem itu.

"Malah golongan dewasa turut menerima sumbangan baju sejuk berkenaan bagi memastikan mereka bersedia untuk berdepan musim sejuk yang bakal melanda negara ini," katanya.

Menurutnya, bantuan diberikan itu sedikit sebanyak mampu melindungi nyawa penduduk kem pelarian perang itu yang hidup serba daif.

"Difahamkan mereka berasal dari beberapa wilayah lain di Afghanistan. Namun mereka terpaksa berhijrah ke sini selepas rumah mereka dibom atau dimusnah tentera asing sebelum ini.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan memakaikan baju sejuk kepada seorang penerima bantuan kanak-kanak yang menghuni kem pelarian Adimazar.
Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan memakaikan baju sejuk kepada seorang penerima bantuan kanak-kanak yang menghuni kem pelarian Adimazar.

"Mereka menjadi mangsa tindakan tidak berperikemanusiaan tentera asing yang memusnahkan kampung serta kediaman penduduk sebelum ini," katanya.

Sementara itu Zulkifli yang disertai exco MCM dan Yayasan Amal Malaysia turut menyerahkan baju sejuk itu dari rumah ke rumah di kawasan sama.

ANAK-ANAK pelarian perang gembira apabila menerima baju sejuk pemberian Muslim Care Malaysia (MCM) semalam.
ANAK-ANAK pelarian perang gembira apabila menerima baju sejuk pemberian Muslim Care Malaysia (MCM) semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 7:14 AM