ADAM Shamil enggan dihimpit kontroversi untuk kejar populariti, mahu buktikan kemampuan dengan mempelbagaikan kebolehan. - FOTO Aziah Azmee
ADAM Shamil enggan dihimpit kontroversi untuk kejar populariti, mahu buktikan kemampuan dengan mempelbagaikan kebolehan. - FOTO Aziah Azmee
Oleh Nur Ilyanie Hanisha Hisham


DUNIA hiburan kini tidak asing lagi dengan kehadiran 'orang baru' yang mahu menceburi bidang ini sebagai salah satu platform untuk bersinar.

Bakat yang terpendam sejak kecil membuatkan mereka mencuba nasib dalam bidang ini termasuk nyanyian, lakonan dan pelbagai lagi.

Tidak ketinggalan, anak kelahiran Sabah, Adam Shamil yang tidak mahu melepaskan peluang dengan mengumpul pengalaman sebanyak mungkin dan menunjukkan bakatnya pada orang ramai.

Adam, atau nama sebenar Adam Shamil Misran, 29, berkata keyakinannya untuk tampil dalam industri seni ini adalah untuk dilihat sebagai golongan baru yang bukan saja berkebolehan dalam bidang nyanyian, namun kepelbagaian.

"Saya tidak mahu hanya dilihat sebagai seorang artis, tetapi saya mahu orang memandang saya sebagai seorang anak seni yang berjaya mengangkat nama negara.

"Tidak hanya seorang penyanyi, namun mungkin boleh membawa nama sebagai pengacara, pelakon, penulis skrip, pengarah dan sebagainya," katanya.

Tambahan lagi, kini seorang pelakon juga mampu menjadi penyanyi, pengacara dan banyak lagi untuk menyerlahkan lagi bakat mereka dan menjadi seorang anak seni yang berkebolehan dalam semua bidang.

Namun, jiwa Adam Shamil lebih kepada bidang nyanyian dan pengacaraan seiring dengan dirinya yang gemar bercakap sejak kecil lagi.

"Fokus dan jiwa saya memang pada nyanyian dan pengacara, tetapi kalau ada rezeki dan tawaran lain mungkin saya tidak akan menolaknya untuk saya meraih pengalaman dan juga menggilap bakat yang saya bakal kecapi.

ADAM mahu mempelbagaikan bakat untuk bersaing dalam dunia seni. - FOTO Aziah Azmee
ADAM mahu mempelbagaikan bakat untuk bersaing dalam dunia seni. - FOTO Aziah Azmee

"Sejak berumur 14 tahun, di bangku sekolah lagi saya memang suka menawarkan diri sebagai pengacara majlis dalam setiap program sekolah yang adakan.

"Baru-baru ini juga saya dilamar oleh Dr Amalina untuk menjadi pengacara Majlis Persandingannya yang dilangsungkan di Malaysia," katanya.

Menceburi pelbagai bidang dalam industri, Adam tidak takut digelar tamak, bahkan dia memilih untuk mencari kelainan pada dirinya yang tidak mungkin ada pada orang lain.

Adam pada mulanya menceburi media sosial sejak tahun 2016 sebagai seorang penghasil kandungan video yang dimuat naik menerusi laman Youtubenya sendiri.

"Saya sebenarnya menggunakan kerjaya saya sebelum ini sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan diri saya kepada masyarakat.

"Secara tidak langsung, saya bakal perlahan-lahan menunjukkan bakat yang saya ada, untuk digilap menjadi lebih berkualiti kepada semua pihak," kata Adam kepada Harian Metro.

Difahamkan, minatnya yang besar dalam industri ini bermula sejak kecil lagi sehingga dia berjaya menarik ramai pengikut di Youtube, Facebook dan lain-lain platform media sosial miliknya.

Adam kini berhasil memiliki 172 Ribu pengikut di Youtube dan 160 Ribu pengikut di Instagram peribadi miliknya walaupun dia hanya sebagai pendatangan baru dalam industri.

Bermula dengan memuat naik video berunsurkan mesej tersirat dan info bahasa kepada orang ramai, Adam berjaya mengumpul sejumlah tontonan pada video sehingga kini.

"Saya memang minat bidang itu, jadi saya cuba menggumpulkan idea sebanyak mungkin dan cuba mempersembahkan ia melalui video yang saya buat," katanya.

Difahamkan, video berjudul 'Get It Right' oleh Adam yang menceritakan perbandingan antara bahasa Melayu Sabah dan bahasa Indonesia di Youtube kini sudah pun mencecah 300 Ribu tontonan di Youtube.

INGIN TERBANG TINGGI DALAM DUNIA SENI

Anak bongsu kepada dua beradik ini, secara jujurnya tidak mahu kontroversi sebagai alat untuk dikenali masyarakat, sebaliknya mahu menonjol dengan bakat dimiliki untuk terbang tinggi dalam industri hiburan.

"Saya tidak sesekali berniat sengaja menghasilkan kontroversi untuk memudahkan proses saya dikenali ramai.

"Pada orang lain, kontroversi mungkin digunakan sebagai satu jalan pintas untuk terkenal tapi, saya tidak mahu berbuat begitu. Sudah pastinya saya inginkan penghargaan daripada masyarakat terutama berkaitan bakat yang saya tampilkan," katanya.

Terbaharu, Adam melancarkan lagu single berjudul Bantu didedikasikan pada orang yang telah banyak berjasa dalam kehidupan untuk memberikan penghargaan berpanjangan kepadanya.

Adam Shamil turut mengharapkan kerjasama peminat untuk membantunya bersinar dalam industri yang diceburi supaya dapat menghasilkan karya berkualiti dan memuaskan banyak pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 6:00 AM