ADAM Lee
ADAM Lee
Ardini Sophia Sina


NAMA Adam Lee sejak kebelakangan ini mulai menjadi sebutan. Enam tahun membina nama, segala usaha dan penat lelah sepanjang tempoh itu akhirnya mula membuahkan hasil.

Bagaimanapun, masih banyak impian yang ingin dikecapinya. Oleh itu, dia perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan menambah ‘kelajuan’ pada momentum kerjayanya.

Mungkin ada yang berpendapat pemilik nama sebenar Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee ini mudah mendaki karier bermodalkan wajahnya yang kacak apatah lagi dia juga mempunyai kaitan kekeluargaan dengan aktres popular, Janna Nick.

Adam bagaimanapun tegas menyangkal perkara itu. Katanya, andai perkara itu benar, dia tidak perlu menunggu lama untuk berada pada tahap dikecapinya sekarang ini.

“Saya kurang suka apabila orang katakan naik disebabkan rupa atau sebab menumpang nama sepupu. Mana-mana pelakon pun ingin dikenali kerana bakat dan karakter yang dilakonkannya.

“Tidak dinafikan, faktor luaran juga penting tetapi rupa seseorang itu tidak menjamin apa-apa pun dalam industri kalau mereka tidak berbakat. Selain itu, rezeki juga memainkan peranan penting dalam perjalanan membina karier.

“Kerap dengar orang cakap saya boleh pergi jauh sebab ada rupa. Hakikatnya, saya kerja keras untuk dikenali seperti hari ini. Saya mulai menceburi lakonan pada usia 19 tahun dan hanya selepas enam tahun barulah orang kenal siapa saya,” katanya.

Enam tahun bukanlah tempoh singkat. Malahan, ia jangka masa yang cukup lama bagi seseorang menggapai impiannya.

Mungkin dalam tempoh itu akan ada yang mulai cakap belakang seseorang itu tidak mampu mencapai impian menjadi seorang pelakon.

Tetapi, bagi Adam, dia hanya fokus pada usaha untuk memahat namanya di industri seni tanah air dan terus positif rezeki yang sudah tertulis buatnya akan tiba suatu hari nanti.

Katanya, ada ramai selebriti yang berjaya pada hari ini membina kerjaya mereka bukan hanya setahun dua. Ada juga yang terpaksa menanti lebih lama sebelum berada di puncak kejayaan.

“Baru enam tahun, saya tidak boleh merungut. Ramai anak seni yang menanti lama sebelum nama mereka dikenali. Namun, tidak pernah pula berputus asa dan melupakan impian mereka.

“Apa yang saya kecapi sekarang ini hanyalah satu permulaan untuk terus melangkah lebih jauh dalam industri seni tanah air.

“Allah sudah berikan akal dan fikiran untuk saya berusaha. Insya-Allah, suatu hari nanti segala kerja keras ini berbaloi,” katanya.

Disenaraikan sebagai lima terbaik bagi calon Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32, Adam tidak menyangka namanya turut berada dalam kategori berkenaan.

Kata Adam, berada dalam senarai lima terbaik mana-mana kategori dalam anugerah itu adalah antara impiannya. Bagaimanapun, menang atau tidak, dia serahkan pada takdir apatah lagi bersaing dengan Afieq Shazwan, Raja Atiq, Ryan Deedat dan Iswan Ismail.

“Saya menceburi bidang seni sebagai pelakon kerana minat. Jadi, apabila nama turut berada dalam senarai lima terbaik, saya sudah cukup bersyukur. Ia ibarat bonus buat pelakon baharu seperti saya.

“Menang atau tidak, semuanya bergantung pada rezeki. Tambahan pula, mereka yang turut dicalonkan dalam kategori sama turut memiliki bakat besar serta lebih popular jika dibandingkan saya. Bagaimanapun, saya sangat hargai sokongan peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:00 AM