ADAM mahu beri motivasi kepada peminat yang sedang mengejar cita-cita.
ADAM mahu beri motivasi kepada peminat yang sedang mengejar cita-cita.
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


KHAS buat ibu dan neneknya. Itu yang ditampilkan dalam lagu berjudul Bantu, nyanyian muka baharu, Adam Shamil., 29. Lagu ciptaan Omar K, Shazriq Azeman dan Darien itu menzahirkan mesej penghargaan terhadap pengorbanan seseorang.

Adam berkata, lagu itu sangat mendalam dan ia sebagai penghargaan buat ibu dan neneknya.

"Saya tinggal dan dibesarkan oleh ibu dan nenek sejak kecil. Jadi, saya nak beri buah tangan kepada mereka yang dah berjaya mendidik dan mengubah hidup saya.

"Kedua-duanya adalah tiang dan kekuatan saya dan saya mungkin tidak akan berada di tempat hari ini tanpa bimbingan mereka," katanya.

Adam akui, sebagai penyanyi baharu, dia pasti akan melalui pelbagai cabaran dalam menghasilkan lagu berkualiti untuk didengari pelbagai pihak.

"Lagu ini hanya mengambil masa sehari untuk ditulis, tetapi hampir sebulan dalam menyiapkan keseluruhan proses. Dengan hasil individu profesional dan berpengalaman, segala proses penghasilan lagu ini berjalan dengan lancar," katanya.

Tema lagu Bantu ini adalah untuk menghargai jasa seseorang sebelum kehilangan serta penghargaan buat mereka yang tersayang.

Menurut Adam, lagu ini karya indah didedikasikan untuk seseorang yang bersama kita melalui perjuangan hidup dan membantu membentuk diri sekarang ini.

Malah, melalui lagu ini, Adam turut memberi motivasi kepada pendengar yang sedang mengejar cita-cita untuk tidak melupakan orang yang pernah ada bersama ketika memulakan langkah.

Terdahulu, single pertama Adam berjudul Mansau berjaya mencatat 15 juta penstriman di semua platform.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 6:44 AM