WATAK hero dambaan Adam dan bersabar sehingga peluang itu datang.
WATAK hero dambaan Adam dan bersabar sehingga peluang itu datang.
Nor Akmar Samudin


Pelakon baru yang mahu dikenali sebagai Adam Cheman, 26, tidak gentar melangkah ke dunia seni yang amat diminatinya.

Biarpun ilmu lakonannya masih cetek, Adam yang menjadikan Syamsul Yusof, Norlia Ghani dan Fauziah Nawi sebagai ikon akan bekerja keras untuk membina tapak kukuh dalam industri lakonan tanah air.

Pernah berlakon dalam drama Cik Suami Mat Salleh sebagai pelakon pembantu dan Jojie Gigil tahun lalu, Adam sudah bersedia menyahut cabaran menjadi pelakon berkaliber dan disegani ramai.

Pastinya watak hero menjadi dambaan hatinya, sehubungan itu Adam akan terus berusaha dan bersabar sehingga peluang itu datang kepadanya.

“Saya meminati semua jenis seni termasuk seni lukis. Apabila seorang rakan melihat saya juga berbakat dalam bidang lakonan, dia membawa saya ke Kuala Lumpur.

“Tidak pernah terdetik untuk meninggalkan kampung halaman di Jeli, Kelantan tetapi hanya dengan berada di Kuala Lumpur saja saya boleh meneroka bakat. Ini kerana Kuala Lumpur adalah pusat untuk segala aktiviti seni.

“Sejauh mana akan berjaya sebagai pelakon adalah sesuatu di luar jangkaan tetapi saya mesti mencuba. Terasa bimbang juga di hati apabila melihatkan ramai pelakon baru yang kebanyakannya hebat belaka dan mempunyai pelbagai kelebihan,” katanya.

Dalam pada itu, Adam turut gentar untuk melakukan perkara baru, tetapi kerana minat yang mendalam dia akan terus bertahan dengan apa saja situasi yang akan dihadapinya.

“Jika ini rezeki saya, pasti akan ada peluang dalam bidang ini,” katanya.

Adam atau nama sebenarnya Mohamed Shahadan Che Seman kini mengikuti pengajian jarak jauh dalam bidang Teknologi Maklumat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 5:00 AM