Suraya Ali dan Ilah Hafiz Aziz

Putrajaya: Wartawan mula berkumpul di depan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, seawal 8 pagi tadi.

Turut kelihatan beberapa penyokong dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menunggu di kawasan letak kereta awam di sini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka tiba ke Ibu Pejabat SPRM 11 pagi ini untuk memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Semalam, Muhyiddin mengesahkan akan hadir di Ibu Pejabat SPRM pagi ini.

"Bagaimanapun esok Khamis, saya diminta ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi," katanya Ahli Parlimen Pagoh itu di media sosial.

Khabar angin mengatakan Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.

Bendahari Agung Bersatu, Datuk Salleh Bajuri turut ditahan SPRM pada 2 Februari lalu selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh parti kepada pembekal dan vendor parti.

Akhir bulan lalu, SPRM membekukan beberapa akaun milik Bersatu dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan, semasa pandemik Covid-19.

Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

SUASANA petugas media di luar perkarangan Ibu Pejabat SPRM berikutan Muhyiddin  dijangka hadir bagi memberi keterangan. FOTO Asyraf Hamzah
SUASANA petugas media di luar perkarangan Ibu Pejabat SPRM berikutan Muhyiddin dijangka hadir bagi memberi keterangan. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 10:13 AM