Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mencampuri siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipercayai berhubung kes salah guna dana awam.

Perdana Menteri sebaliknya berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa SPRM, bukannya bermotifkan politik.

"Itu tengok kes, saya tidak campur. Setakat ini dia (Muhyiddin) hanya dipanggil. Tetapi, untuk mengatakan semua kes yang kita ambil itu ada motif politik, maknanya tak bolehlah tangkap kes-kes rasuah lain yang besar-besar, semua lepas?

"Sebab itu saya kata kena lihat dulu ada kes atau tidak. Ini urusan SPRM. Sampai sekarang saya tidak tahu apa akhirnya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul.

ANWAR melawat ke ruang pameran KL Park Festival 2023. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANWAR melawat ke ruang pameran KL Park Festival 2023. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Muhyiddin hari ini hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, kira-kira 11 pagi tadi.

Siasatan terhadap Muhyiddin dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan membabitkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Pada 21 Februari lalu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 12:54 PM