NAJWA hadir bersama Idris bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin yang didakwa di mahkamah, hari ini.  FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
NAJWA hadir bersama Idris bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin yang didakwa di mahkamah, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Safeek Affendy Razali dan Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri, Najwa Mahiaddin hadir bersama suaminya Idris Koh Keng Hui bagi memberi sokongan kepada bapanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi pertuduhan mahkamah, hari ini.

Beliau yang pernah menyanyikan lagu Saya Anak Malaysia itu tiba pada 8.20 pagi tadi bersama beberapa ahli keluarga yang lain.

Selain Najwa, beberapa pimpinan parti Perikatan Nasional (PN) turut dilihat hadir memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Antaranya, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Radzi Jidin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu didakwa enam pertuduhan empat kes salah guna kuasa serta dua berkaitan penggubahan wang haram yang berkait dengan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Semalam, Muhyiddin ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selepas hadir ke suruhanjaya itu bagi merakamkan percakapan serta melengkapkan proses siasatan akhir projek Jana Wibawa.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, Muhyiddin menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Aka Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 12:36 PM