MUHYIDDIN. FOTO arkib NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
MUHYIDDIN. FOTO arkib NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan sekali lagi dituduh di mahkamah minggu depan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Pertuduhan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah berikutan siasatan berkait kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan perkara itu semalam.

"Ya, betul," katanya ketika ditanya berhubung perkara itu.

Mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Kelmarin, sejurus dibebaskan SPRM daripada tahanan selepas diambil keterangan, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mengesahkan beliau akan berdepan tujuh pertuduhan di mahkamah.

Semalam, bekas Perdana Menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan meliputi empat menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas perdana menteri kedua yang terkenal dengan panggilan 'Abah' didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, memaklumkan bahawa Muhyiddin dijangka dikenakan lagi pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah di Shah Alam, Isnin depan.

Pada 18 Februari lalu, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 2:16 PM