ABDULLAH menguruskan lebih 300 mayat masyarakat Orang Asli sejak bertugas dengan Jakoa Pahang pada 2015. FOTO Mohd Rafi Mamat
ABDULLAH menguruskan lebih 300 mayat masyarakat Orang Asli sejak bertugas dengan Jakoa Pahang pada 2015. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Pekan: "Saya tidak pernah berasa terbeban setiap kali ditugaskan mengurus dan menghantar mayat masyarakat Orang Asli ke kampung mereka yang terletak jauh di pedalaman melalui jalan balak di tengah hutan.

"Dengan tanggungjawab yang digalas saya memandu sendirian kenderaan pacuan empat roda yang dijadikan ambulans bersama mayat pelbagai kes kematian menempuh cabaran tanpa mengira waktu dan keadaan," kata pemandu ambulans Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Abdullah Ali Abdul Rahman, 57.

Dia selesa bertugas secara sendirian berbekalkan semangat dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Jakoa Pahang sejak 1995 hingga kini, tanpa sedikit rasa menyesal memilih kerjaya berkenaan.

Katanya, setiap kali ada kes kematian masyarakat Orang Asli di hospital daerah, petugas di bilik mayat akan hubungi bagi tujuan membantu menghantar mayat ke kampung untuk diuruskan pengebumian oleh keluarga.

Terdapat juga keluarga menghubungi pengarah Jakoa Pahang bagi mendapatkan kebenaran menggunakan ambulans.

"Apabila khidmat saya diperlukan...saya akan segera ke hospital daerah di seluruh Pahang tidak mengira waktu dan keadaan dengan syarat pihak keluarga mayat sedia menunggu saya yang akan mengambil masa beberapa jam bergantung kepada jarak ke hospital seterusnya ke kampung.

"Saya bertugas di pejabat Jakoa daerah Pekan dan setiap kali ada kes kematian saya bergegas ke hospital daerah. Selepas mengambil mayat ia akan dihantar ke kampung Orang Asli di kawasan pinggir bandar termasuk pedalaman yang jauh di dalam hutan.

"Berbekalkan semangat dan tanggungjawab yang digalas saya memandu ambulans pacuan empat roda tanpa rasa bebanan, jarak 30 kilometer melalui jalan balak untuk sampai ke Pos Lenjan, Lipis bukan suatu bebanan terlalu berat," katanya yang kini menetap Kampung Pahang Tua, Pekan.

Menurut bapa dua cahaya itu, di peringkat awal bertugas memandu sendirian ambulans membawa mayat timbul juga rasa takut namun selepas beberapa tahun perasaan takut dan bimbang hilang begitu sahaja.

Abdullah mengakui sejak bertugas lebih 300 mayat Orang Asli dia uruskan membabitkan pelbagai kes kematian, antaranya lemas, bunuh diri, tertembak, Covid-19, serangan gajah dan kemalangan jalan raya.

Bagi kes membawa mayat lemas yang berbau, beberapa petua digunakan antaranya tidak boleh menarik bernafas terlalu dalam bagi mengelak bau kuat.

Kaedah lain ialah minyak diesel diletak pada hidung.

"Saya ikhlas menguruskan mayat Orang Asli, soal bangsa dan agama tidak pernah dipersoalkan. Yang penting sekali ialah mayat perlu diuruskan dengan segera, dalam kes tertentu saya menghantar mayat terus ke kawasan perkuburan yang terletak dalam hutan.

"Mungkin orang lain merasa takut dan memandang rendah tugas saya ini, bagi saya terpulang pada individu berkenaan. Sedikit kemampuan yang dimiliki ini sahaja dapat membantu mereka yang memerlukan.

"Ucapan terima kasih daripada keluarga waris yang saya bawa adalah suatu penghargaan dan sanjungan daripada masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada pelbagai suku kaum," katanya yang pernah meredah banjir bagi menghantar mayat di Pos Buntut, Raub tahun lalu.

Abdullah yang boleh bertutur dalam bahasa Jakun menambah, dia tidak pernah memikir perkara yang bukan-bukan sepanjang bertugas terutama ketika menghantar mayat pada waktu siang maupun malam.

Katanya, disebabkan tersalah maklumat daripada keluarga dia pernah tersalah menghantar mayat Orang Asli ke daerah lain, ada juga kes dia tersesat dalam hutan kerana keliru dengan laluan hingga terpaksa mendapat bantuan pekerja ladang kelapa sawit.

Menurutnya, pernah terjadi dia terpaksa membawa dua mayat Orang Asli dalam satu masa membabitkan mangsa yang terbabit dengan kemalangan.

Beliau yang sebelum ini dua kali menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jakoa Pahang berkata, apa juga tugas dilakukan yang utama perlu ada dalam hati ialah keikhlasan, jangan terlalu meletakkan diri dalam keadaan terpaksa selain mengejar imbuhan.

Prinsip menjalankan tugas dengan senang hati perlu sentiasa ada dalam diri.

"Selain membawa mayat saya turut membawa masyarakat Orang Asli yang memerlukan rawatan di hospital, saya perlu mengambil dan menghantar mereka pulang. Mereka mengidap pelbagai jenis pesakit kronik sama seperti masyarakat lain.

"Saya berusaha membantu mereka dengan sebaik mungkin, senyuman dan ucapan terima kasih daripada pesakit dan keluarga mereka adalah penghargaan paling bererti buat saya. Perjalanan yang jauh di dalam hutan menggunakan jalan balak seolah tidak memenatkan apabila dapat berbakti kepada mereka yang amat memerlukan.

"Setiap minggu saya membawa pesakit termasuk mayat tanpa rasa jemu, selagi bertugas dengan Jakoa tanggungjawab terhadap amanah digalas akan terus ditunaikan," katanya yang sebelum ini pernah menghantar mayat Orang Asli ke Kedah dan Selangor.

Abdullah berkata, kes terkini yang diuruskan membabitkan mayat remaja Orang Asli yang serang seekor gajah jantan di Kampung Tual B di Pos Senderut awal bulan lalu. Perjalanan hampir dua jam untuk menghantar mayat terbabit daripada hospital Lipis. "Kepercayaan diberikan pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi terhadap tugas dilakukan yang kini mencecah 28 tahun menjadi pembakar semangat untuk saya terus bertugas membantu masyarakat Orang Asli yang memerlukan bantuan," katanya yang meminati aktiviti menangkap ikan di sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 7:02 AM