KAWASAN  Hutan Simpan Ulu Jelai yang diceroboh untuk dijadikan tapak mencari galian dipercayai unsur nadir bumi (REE) secara haram.
KAWASAN Hutan Simpan Ulu Jelai yang diceroboh untuk dijadikan tapak mencari galian dipercayai unsur nadir bumi (REE) secara haram.
Mohd Rafi Mamat


Lipis: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tidak menolak kemungkinan kegiatan melombong galian dipercayai unsur nadir bumi (REE) di Kompartmen 411 Hutan Simpan Ulu Jelai (HSUJ), didalangi penduduk tempatan yang menggunakan khidmat warga China.

Ini berdasarkan bukti yang ditemui di lokasi, membabitkan pelbagai peralatan bagi kegunaan perlombongan itu.

Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pihaknya percaya suspek warga asing yang bekerja di tapak lombong berkenaan sempat menghidu kehadiran penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis dan Unit Penguatkuasa JPNP Zon Pahang Barat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta Perhutanan Negara (Pemakaian) 1984.

"Jabatan sudah melantik pasukan khas bertujuan mempercepatkan siasatan bagi mengesan dalang yang terbabit dengan kegiatan melombong secara haram itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai kejayaan pihak berkuasa menggagalkan cubaan membuka lombong bagi mendapatkan REE secara haram menggunakan kaedah tujuh kolam tanah di Kompartmen 411 HUSJ, Sabtu lalu.

ANTARA peralatan yang ditinggalkan suspek.
ANTARA peralatan yang ditinggalkan suspek.

Dr Mohd Hizamri berkata, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain di negeri ini dalam usaha menyekat kegiatan pencerobohan hutan simpan, sama ada untuk REE mahupun memindahkan hasil balak.

Selain itu, katanya, kerjasama dengan masyarakat Orang Asli untuk menyalur maklumat jika mengesan kegiatan mencurigakan di hutan berdekatan penempatan mereka seperti di pencerobohan di HSUJ yang berhampiran Pos Lanai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Johari Alwi berkata, pihaknya sudah mengingatkan masyarakat Orang Asli di daerah itu supaya berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa.

"Orang Asli yang setiap hari menggunakan jalan balak mungkin terlebih dahulu dapat mengesan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Mereka boleh memberi maklumat kepada Jakoa mahupun polis dan JPNP, malah maklumat mereka dirahsiakan," katanya.

Dalam laporan semalam, pihak berkuasa menemui tapak lombong haram selepas menempuh perjalanan tujuh kilometer dengan kawasan berkeluasan 0.28 hektar yang dilengkapi peralatan moden.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 7:00 AM