Johari Alwi (tiga dari kanan) bertemu dengan penduduk Orang Asli Kampung Tual B, Pos Senderut berikutan kejadian serangan gajah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Johari Alwi (tiga dari kanan) bertemu dengan penduduk Orang Asli Kampung Tual B, Pos Senderut berikutan kejadian serangan gajah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang akan membawa tok batin dan wakil penduduk Pos Senderut dan Pos Betau, Lipis melihat lebih dekat pagar elektrik yang digunakan untuk menghalang gajah daripada menceroboh penempatan Orang Asli.

Pengarah Jakoa Pahang Johari Alwi berkata, usaha berkenaan bagi memberi penerangan secara turun padang bagi mengubah tanggapan masyarakat Orang Asli yang tidak bersetuju dengan cadangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk membina pagar elektrik di kawasan penempatan mereka.

Menurutnya, Perhilitan berpendapat hanya penggunaan pagar elektrik sahaja yang dapat menghalang kumpulan gajah liar di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis daripada terus menceroboh beberapa kampung di Pos Senderut dan Pos Betau.

Katanya, cadangan membina pagar elektrik mendapat bantahan daripada Batin dan penduduk kampung yang mendakwa kaedah berkenaan membahayakan penduduk terutama kanak-kanak yang bermain di kawasan pagar berkenaan.

"Saya yakin dengan membawa tok batin dan wakil penduduk melihat lebih dekat pagar elektrik sambil mendapat penerangan daripada Perhilitan, dapat mengubah pendirian mereka sebelum ini yang bertegas tidak ingin melihat pagar elektrik berada di kampung mereka.

"Saya difahamkan masyarakat Orang Asli di Pos Senderut dan Pos Betau menganggap pagar elektrik yang digunakan mempunyai arus elektrik yang tinggi, apabila tersentuh boleh menyebabkan kematian," katanya dihubungi di sini, semalam.

Beliau menambah, dia yakin apabila mendapat penerangan yang jelas dan tepat, masyarakat Orang Asli akan dapat menerima usaha yang digunakan bagi menjamin keselamatan mereka daripada ancaman kumpulan gajah liar.

Johari berkata, sekiranya usaha membina pagar elektrik tidak dapat dilakukan, tidak mustahil ancaman gajah liar di beberapa kampung di Pos Senderut dan Pos Betau akan terus berlaku.

Menurutnya, kepakaran yang ada pada Perhilitan diperlukan dalam usaha memastikan kes kematian masyarakat Orang Asli disebabkan serangan haiwan berkenaan tidak terus berlaku lagi.

"Sebelum ini beberapa projek pembinaan pagar elektrik di kawasan penempatan Orang Asli oleh Perhilitan sudah terbukti berjaya, sebagai contoh di Pos Iskandar, Bera yang kini bebas dengan ancaman gajah selepas pembinaan pagar elektrik.

"Saya sudah mengarahkan pegawai Jakoa di Lipis supaya segera mengatur program lawatan tok batin dan wakil penduduk Pos Senderut dan Pos Betau, untuk melihat pagar elektrik sambil mendapat penerangan daripada Perhilitan," katanya.

Pos Senderut dan Pos Betau sebelum ini diancam kumpulan gajah liar hingga menyebabkan dua kematian Orang Asli pada Disember tahun lalu di Kampung Simoi Baru, Pos Betau dan Kampung Tual B, Pos Senderut, pada Januari lalu.

Minggu lalu Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Pahang berjaya menangkap gajah jantan di Kampung Simoi Lama selepas haiwan berkenaan menceroboh kampung terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 11:48 AM