Mohd Rafi Mamat


Lipis: Seramai 1,191 Orang Asli di 13 kampung daerah ini dan berbangga apabila berpeluang menerima vaksin dos tunggal Cansino yang pertama di negeri itu.

Mereka adalah kumpulan pertama yang suka rela menerima vaksin itu menerusi Program 'Outreach' Vaksin COVID-19 vaksin dos tunggal Cansino untuk masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang, Pos Titom dan Pos Sinderut, di sini yang adakan selama tiga hari berakhir, semalam.

Anisah Abdullah, 20, berasa bertuah apabila hanya dengan sekali suntikan dapat menghalang jangkitan virus Covid-19 yang begitu mudah merebak.

Menurutnya, sebelum ini semua Orang Asli menerima dua suntikan, berbeza dengan penduduk Orang Asli Pos Lenjang yang hanya menerima satu suntikan tanpa banyak masalah.

"Apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang mempelawa siapa yang berminat untuk menerima vaksin Covid-19, saya antara individu terawal mendaftar dan lebih menarik apabila berpeluang menerima vaksin Cansino.

"Selepas menerima suntikan, saya hanya perlu berehat sehari hingga dua hari sahaja, selepas itu boleh melakukan rutin harian seperti masuk ke hutan," katanya.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, ibunya, Siti Aminah Abdullah, 56 yang turut sama menerima vaksin menambahkan lagi semangatnya walaupun ada perasaan takut di peringkat awal.

Anisah mengakui dia dan ibu sama-sama berjalan kaki ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lenjang kira-kira jam 10 pagi bagi mendapatkan vaksin Cansino yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya berharap lebih ramai lagi Orang Asli di kawasan pedalaman di negeri ini menerima vaksin bagi memastikan mereka tidak mudah dijangkiti Covid-19," katanya.

Bagi Bah Chu Bah Din, 39, sebelum ini Orang Asli terpaksa menerima dua dos suntikan, namun berbeza dengan penduduk di Pos Lenjang, Pos Titom dan Pos Sinderut yang hanya menerima satu dos suntikan.

"Sebelum ini saya tidak berminat untuk menerima vaksin kerana terpaksa menerima dua suntikan, namun mengubah fikiran apabila ditawarkan dengan vaksin Cansino yang hanya memerlukan satu suntikan.

"Selepas menerima vaksin saya dinasihatkan supaya berehat sehari di rumah sebelum boleh mencari rezeki di hutan," katanya.

Program 'Outreach' Vaksin COVID-19 vaksin dos tunggal Cansino untuk masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang, Pos Titom dan Pos Sinderut dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi berkata, fasa pertama 1,600 dos vaksin dos tunggal Cansino diterima daripada KKM, namun hanya 1,191 digunakan untuk penduduk di 13 kampung di Pos Lenjang, Pos Titom dan Pos Sinderut.

Menurutnya, KKM menyediakan 4,000 dos vaksin jenis itu untuk masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman di negeri ini.

"Minggu depan pemberian vaksin

dos tunggal Cansino akan diteruskan ke beberapa kampung Orang Asli di kawasan pedalaman negeri ini termasuk Pos Senderut, di sini.

"Pemberian vaksin dos tunggal Cansino kepada Orang Asli bertujuan memudahkan masyarakat berkenaan terutama yang tinggal di kawasan pedalaman," katanya yang akan terus memastikan semua Orang Asli berumur 18 tahun menerima vaksinasi.

Beliau menambah, kini 21,558 masyarakat Orang Asli di negeri itu lengkap mendapat dua dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac sejak mula dilancar 16 Mac lalu.

Johari berkata, 35,122 orang kini sudah mendapat dos pertama dan 17,240 lagi masih menunggu bagi menerima vaksinasi yang disediakan KKM.

Katanya, pihaknya akan terus berusaha memujuk

golongan yang masih lagi menolak dan takut untuk menerima vaksin.

Malah, dalam tempoh terdekat ini, pegawai Jakoa ke Ulu Tembeling untuk bertemu dengan Orang Asli suku kaum Bateq.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 7:35 PM
Pegawai Pejabat Jakoa Lipis, Kerisman Hasbullah bertemu masyarakat Orang Asli sebelum menerima suntikan pada program pemberian vaksin dos tunggal Cansino di Sekolah Kebangsaan (SK) Lenjang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Pegawai Pejabat Jakoa Lipis, Kerisman Hasbullah bertemu masyarakat Orang Asli sebelum menerima suntikan pada program pemberian vaksin dos tunggal Cansino di Sekolah Kebangsaan (SK) Lenjang. FOTO MOHD RAFI MAMAT