PUTERI Sarah.
PUTERI Sarah.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Isteri pertama pengarah, Syamsul Yusof iaitu Puteri Sarah Liyana secara sinis mengucapkan tahniah buat suaminya yang bernikah lagi satu dengan Ira Kazar, di Thailand, hari ini.

Puteri Sarah menerusi hantaran di Instagram Story turut mendakwa Syamsul sudah melangsungkan pernikahan beberapa bulan lalu di Thailand.

"Tahniah sebab akhirnya mengaku dan berdaftar selepas dah berbulan nikah di Thailand kan," katanya.

Dalam hantaran yang sama, Puteri Sarah turut tidak menyangka apabila suaminya itu sanggup menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku.

"Anda menjadikan apa yang berlaku ini atas kesalahan saya. Okey, tunggu saya tengah 'shooting' (penggambaran) sekejap. Sekejap lagi saya buat video. Tunggu ya," tulisnya.

Terdahulu, Syamsul membuat pengakuan menerusi video di Instagram mengesahkan dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand, hari ini.

Syamsul berkata, pernikahan itu berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.

Dalam video itu, Syamsul turut menjelaskan Puteri Sarah masih lagi isterinya yang sah dan memohon Puteri Sarah pulang ke rumah dan berbincang dengannya.

Menurut Syamsul, dia mahu berbincang dengan Puteri Sarah mengenai masalah mereka dan tidak mahu ia dihebahkan di media sosial seperti sebelum ini.

"Pulanglah dan bawa kembali anak-anak kita. Apa-apa masalah, kita bincang di rumah, selesaikan tanpa perlu dihebahkan (dan) mengaibkan saya. Saya masih suami awak.

"Sudah-sudahlah bawa anak ke sana, ke mari tanpa minta keizinan suami. Saya masih suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 4:28 PM