Puteri Sarah Liyana
Puteri Sarah Liyana
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Negara ada undang-undang dan kebenaran akan terungkap."

Demikian kata pelakon Puteri Sarah Liyana susulan Mahkamah Sesyen membenarkan permohonannya untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap isteri kedua pengarah Syamsul Yusof, Ira Kazar bersama-sama bapa dan kakaknya, semalam.

Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin, kakaknya Yasmin dan bapanya, Kazaruddin Saisi perlu menjawab kepada mahkamah berhubung tindakan mengingkari perintah injuksi yang dikeluarkan terhadap mereka pada Julai tahun lalu.

Perintah injuksi diperoleh Puteri Sarah pada 4 Julai tahun lalu antara lainnya menghalang Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya daripada menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya.

Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga mentuanya, suaminya atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya (Puteri Sarah).

Menurut Puteri Sarah, dia tidak dapat berkongsi butiran lanjut kerana kes masih dalam peringkat permulaan. "Tiada apa yang boleh saya komen sekarang ini. Cuma doakan yang baik-baik untuk saya.

"Segala tindakan yang saya lakukan selama ini adalah untuk melindungi anak-anak saya.

"Saya ingin berterima kasih kepada pasukan peguam saya yang bertungkus-lumus membantu dalam memastikan saya kuat dan tabah dengan ujian ini," katanya.

Pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul di Mahkamah Syariah dengan alasan tidak dapat lagi hidup sebagai suami isteri dengan suaminya kerana tiada persefahaman di antara mereka dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan).

Ibu kepada Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4, itu juga menyatakan tekanan dan gangguan daripada pihak ketiga serta hubungan sulit Syamsul turut mendorongnya untuk memfailkan perceraian terbabit.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, Kazar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 3:43 PM