ADA mangsa cuba membunuh diri kerana trauma dan malu selepas teman lelakinya menyebarkan gambar aibnya kepada rakan.
ADA mangsa cuba membunuh diri kerana trauma dan malu selepas teman lelakinya menyebarkan gambar aibnya kepada rakan.
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Ketika ini, ramai kanak-kanak serta remaja perempuan menjadi mangsa sexual grooming atau antunan seksual lelaki hidung belang malah seawal usia 13 tahun, ada yang sanggup datang ke hotel untuk bertemu lelaki yang dikenali melalui aplikasi sosial.

Malah, mangsa turut berkongsi gambar dan video peribadi mengaibkan dengan 'kekasih di sebalik skrin' itu.

Ketika mendedahkan isu sosial itu, Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) Brickfields Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir berkata, pihaknya berdepan satu kes yang mana mangsa berusia 13 tahun hampir menjadi mangsa lelaki hidung belang terbabit.

"Mangsa sudah ada di lobi hotel di sekitar ibu kota untuk bertemu dengan lelaki hidung belang yang berusia 17 tahun lebih tua daripadanya.

"Bagaimanapun, dia 'diselamatkan' ibu bapa kenalan keluarganya yang terserempak dengannya di lobi hotel berkenaan," katanya.

Menurut Saiful Hamiruzzaman, mangsa dibawa pulang sebelum menceritakan kejadian yang membawanya hingga ke hotel terbabit.

Katanya, itu antara taktik digunakan lelaki hidung belang bagi memperdaya kanak-kanak serta remaja sehingga menyebabkan mereka terjerumus dalam kegiatan negatif.

Bagaimanapun, kata Saiful Hamiruzzaman, gambar dan video yang masih dalam simpanan lelaki itu menyebabkan mangsa berkenaan dan keluarganya tertekan, trauma serta malu biarpun setakat ini ia belum disebarkan.

"Kerana tertekan dengan kesilapan diri, mangsa mencederakan diri dengan mengelar tangan selain sentiasa ketakutan kerana bimbang gambar itu akan disebarkan.

"Satu lagi kes membabitkan remaja berusia 14 tahun yang cuba membunuh diri kerana trauma dan malu selepas teman lelakinya menyebarkan gambar aibnya kepada rakan.

"Perkongsian itu dibuat selepas dipujuk teman lelaki kononnya atas faktor cinta.

"Ada juga mangsa terdiri daripada remaja lelaki yang berkongsi gambar sama selepas terpedaya dengan Love Scam yang mana lelaki menyamar perempuan dan mengugut menyebarkan gambarnya untuk mendapatkan wang," katanya.

Beliau berkata, penggunaan aplikasi media sosial secara meluas tanpa pengawalan lebih memudahkan akses komunikasi berunsurkan lucah biarpun tanpa sentuhan fizikal.

Ia akhirnya menjerat mangsa untuk berkongsi gambar atau video mengaibkan diri sebelum boleh menjurus kepada jenayah seksual.

Katanya, berdasarkan kes dikendalikan pihaknya, mangsa jenayah seksual kanak-kanak membabitkan usia seawal 11 hingga 18 tahun dengan perempuan adalah paling ramai kongsi gambar seumpama itu.

"Trend jenayah seksual dalam talian ketika ini adalah berbeza dan cabarannya lebih besar berbanding beberapa tahun lalu apabila ada pelbagai aplikasi sosial atau dating termasuk kononnya mesra Muslim yang boleh mendorong ke arah perlakuan tidak bermoral.

"Tetapi kita tidak boleh menyalahkan aplikasi itu sepenuhnya kerana memang ia ada aspek negatif dan positif yang mana sisi negatifnya membabitkan pengguna menyalahgunakan tujuannya.

"Apabila sudah berkawan dan diantun oleh seseorang, ia menjadikan dia semakin berani untuk berkongsi kerana menyangkakan perbualan itu adalah rahsia dan selamat tanpa menyangka ia membawa kepada isu yang lebih parah," katanya.

Menurut Saiful Hamiruzzaman, apabila keadaan menjadi semakin serius, ia bukan saja memberi kesan besar kepada mangsa yang tertekan emosi malah turut menjerat ibu bapa yang turut berdepan kebimbangan.

Justeru, kata Saiful Hamiruzzaman, kes seumpama ini dapat dijadikan pengajaran kepada orang ramai dalam kesedaran dan usaha untuk membanteras jenayah seksual.

Untuk rekod, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan, 1,348 kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak sejak Januari hingga Jun lalu.

Dah terima 500 kes sexual grooming

Sepanjang penubuhan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) Brickfields pada 2002 mengikut Akta Kanak-kanak 2001, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan sudah menerima hampir 500 kes berkaitan sexual grooming atau antunan seksual termasuk membabitkan kanak-kanak serta remaja.

Pengerusinya, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir berkata, sepanjang 2021 dan tahun ini, pihaknya mengendalikan 150 kes termasuk membabitkan 30 kes kanak-kanak.

"Individu ini tampil secara sukarela untuk mendapatkan bantuan dan jumlah itu setakat Januari hingga November lalu.

"Kebanyakan kes yang dikendalikan membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun serta remaja berusia sehingga 18 tahun yang berkongsi gambar dan video mengaibkan dengan kenalan yang dikenali di aplikasi media sosial.

"Banyak juga kes yang tidak mahu tampil ke depan, cuma kita bantu secara tidak rasmi. Ia mencecah ratusan kes.

"Kalau ada kes yang pihak sekolah maklumkan kepada kita tetapi ibu bapa tidak mahu ke depan, kita meminta pihak terbabit mengambil tindakan sewajarnya dan memberi sokongan kepada mangsa," katanya.

Kata Saiful Hamiruzzaman, justeru, kesedaran untuk membanteras jenayah itu perlu terus dipertingkatkan dengan pembabitan utama adalah ibu bapa sendiri selain bantuan daripada pihak berkuasa, masyarakat dan badan berkaitan.

"Ibu bapa perlu mengambil tahu setiap asas dan fungsi aplikasi sosial yang ada supaya mereka dapat melihat aspek yang negatif dan disalah gunakan bagi memantau aktiviti anak.

"Dalam alam maya, 99 peratus perkara yang baik boleh berlaku dan 99 peratus perkara yang tak baik juga boleh berlaku. Jadi ia terpulang kepada individu berkaitan untuk pilih cara menggunakan aplikasi itu," katanya.

Mengulas lanjut, Saiful Hamiruzzaman berkata, pihaknya membantu dalam aspek memberi sokongan emosi termasuk membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, ia juga sebagai sokongan supaya mangsa dapat meneruskan kehidupan serta berhadapan dengan masyarakat sekeliling dalam pasca berhadapan masalah itu.

"Peranan netizen atau masyarakat juga sangat penting untuk membantu dan tidak menghukum, membuli atau menganggap kejadian seumpama ini sebagai gurauan," katanya.

Saiful Hamiruzzaman yang juga penceramah dan pengurus program Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur berkata, pertubuhan berkenaan juga giat membantu kes berkaitan jenayah, keganasan, isu siber, penyalahgunaan dadah, kesihatan mental, seksual dan sosial di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 12:00 PM