Mangsa ‘tak sedar’ gambar, video digunakan pelaku sebagai ugutan.
Mangsa ‘tak sedar’ gambar, video digunakan pelaku sebagai ugutan.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kebanyakan kes gangguan seksual terhadap lelaki terutama dalam kalangan kanak-kanak lelaki bermula di dalam talian atau laman sosial.

Perunding Keselamatan dan Pertahanan Diri Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir berkata, hanya daripada perkongsian gambar dan video yang dianggap sebagai gurauan serta suka-suka menjerat mereka menjadi mangsa.

Beliau yang juga Pengurus Program Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur berkata, kes gangguan seksual secara dalam talian amat serius dan menunjukkan peningkatan sama ada kepada lelaki, kanak-kanak mahupun remaja.

"Antara punca dikenal pasti berlakunya gangguan seksual itu apabila mangsa tanpa rasa malu memberikan gambar tidak senonoh kepada pelaku kerana menganggap ia perkara biasa.

SAIFUL
SAIFUL

"Antara lain adalah mangsa mengambil sikap mendiamkan diri kerana menganggap ia bukan sesuatu yang serius.

"Ada antara mereka yang menjadi mangsa ini turut diperas ugut pelaku yang menjanjikan bayaran atau hadiah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan kes gangguan seksual terhadap lelaki turut disumbangkan oleh kurangnya kesedaran dan pendedahan mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, katanya, kes seksual kanak-kanak lelaki yang membabitkan sumbang mahram juga berlaku kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan bahawa sesuatu tindakan pelaku terhadap mereka adalah salah.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, mangsa, ibu bapa atau penjaga malu untuk membuat laporan kepada pihak polis terutama jika pelaku itu adalah ahli keluarga sendiri atau individu dikenali.

"Stigma masyarakat yang selalu menyalahkan mangsa menyebabkan mangsa dan ahli keluarga malu untuk tampil membuat laporan," katanya.

Saiful berkata, program pendidikan dan perlindungan tidak mencukupi di sekolah atau pusat pendidikan kanak-kanak turut menyebabkan golongan itu kurang pengetahuan mengenai kes gangguan dan jenayah seksual.

Justeru, beliau mengharapkan kerjasama daripada masyarakat terutama ibu bapa dan pihak sekolah supaya memberi pendedahan di peringkat awal bagi mencegah jenayah itu terus berleluasa.

Gangguan seksual bukan benda kelakar

Isu gangguan seksual bukan sesuatu yang baharu dan seringkali dinormalisasikan sebagai perkara biasa dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, cabaran dalam menangani gangguan seksual adalah sesetengah pelaku menganggap pelakuan itu sebagai jenaka yang tidak menyinggung atau merupakan suatu salah faham.

"Namun, hakikatnya apabila mangsa berasa tidak selesa dengan usikan berunsur seksual oleh pelaku, maka ia boleh diklasifikasikan sebagai gangguan seksual. Kementerian berpandangan wujudnya keperluan untuk mengubah norma sosial ini.

"Selaras dengan perkara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengadakan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di seluruh negara pada tahun lalu bagi memberi pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai gangguan seksual," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Noraini tidak menafikan gangguan seksual kebiasaannya membabitkan mangsa wanita namun golongan lelaki juga boleh menjadi mangsa.

"Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) yang digubal sebagai platform alternatif kepada perundangan dan dasar sedia ada bagi menangani isu gangguan seksual.

"Dalam hal ini, Akta 840 adalah terpakai kepada mana-mana individu tanpa mengira jantina dan memberi ruang kepada sesiapa yang diganggu secara seksual untuk mengemukakan aduan kepada Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS)," katanya.

Menurutnya, penubuhan TAGS diharapkan dapat menambah baik sistem perundangan dan keadilan sedia ada di negara ini melalui pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.

"Serta menyediakan platform bagi memberikan tebus rugi kepada mangsa yang telah diganggu secara seksual termasuk mangsa lelaki. TAGS yang akan beroperasi kelak adalah satu badan bebas yang tidak terikat dengan mana-mana pihak.

"Ia secara langsung dapat mewujudkan elemen kepercayaan bahawa aduan yang dikemukakan kelak akan melalui sesi pendengaran yang telus dan jujur tanpa prejudis," katanya.

Selain itu, Noraini yang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, isu gangguan seksual juga merupakan isu sensitif khususnya bagi golongan lelaki menyebabkan mereka berasa malu dan segan untuk melaporkan perkara yang berlaku.

Disebabkan itu katanya, Perkhidmatan Talian Kasih 15999 disediakan sebagai platform penghubung antara kumpulan sasar dengan kementerian bagi tujuan pertanyaan, aduan dan permohonan bantuan.

"Ia turut merangkumi antara lain kaunseling, perlindungan dan kebajikan termasuk aduan gangguan seksual," katanya

Katanya, kementerian juga mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) sebagai pusat rujukan khusus untuk kumpulan sasar, mengemukakan aduan dan pertanyaan, mendapatkan perkhidmatan kaunseling secara bersemuka atau dalam talian dan khidmat nasihat serta bimbingan berkaitan pembangunan sosial termasuk berkaitan isu gangguan seksual.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 12:10 PM