SEBAGAI juara GV9, Jaclyn meraih hadiah wang tunai RM100,000.
SEBAGAI juara GV9, Jaclyn meraih hadiah wang tunai RM100,000.
Najiy Jefri


MESKIPUN pembabitan Jaclyn Victor di lapangan seni suara semakin menghampiri dua dua dekad sejak langkahnya bermula pada 2004, namun aura, personaliti dan vokalnya masih hebat.

Malah, hari ini, ibu tunggal dua anak yang baharu dijulang sebagai juara program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) itu turut meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-44.

Kemenangan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000, pastinya antara hadiah istimewa Jaclyn yang cukup popular dengan lagu Jagalah Diri dan Ikut Rentakku buat anak dan keluarga tercinta.

Apa-apa pun, yang pasti tiada siapa mampu menafikan kemampuan vokal yang dimiliki figura kesayangan ramai ini. Rata-rata peminatnya masih menyokong padu keberadaan Jaclyn di dalam industri

Biarpun usianya kian meningkat termasuk status sebagai ibu, kehebatan penyanyi ini terus 'gemilang' dan masih mampu mencipta kejayaan baharu.

Bagi pemilik nama sebenar Jaclyn Joshua Thanaraj Victor ini, dia perlu berterima kasih kepada rakan perjuangannya di GV9. Katanya, ia berikutan mereka sentiasa memberi persembahan terbaik sekali gus membuatkan dirinya tidak boleh duduk selesa.

"Apabila berada dalam pertandingan sebesar GV9 ini, semua orang sudah tentu mahu memberikan persembahan terbaik.

"Saya suka lihat rakan di GV9 begitu bersungguh-sungguh mempamerkan persembahan terbaik mereka pada setiap minggu. Ini sekali gus membuatkan saya juga mahu melakukan perkara sama.

"Tiada timbul istilah dengki apabila lihat rakan melakukannya dengan bagus. Malah, kami terus memberikan semangat. Disebabkan itu, saya suka GV9 kerana ia adalah pertandingan yang sihat.

"Saya akan merindui suasana ini. Kami memiliki hubungan yang istimewa dan saya sangat sayangkan semua rakan di GV9 itu," katanya.

Dalam pada itu, Jaclyn juga mendedahkan sepanjang terbabit dalam GV9, dia sebenarnya berada dalam keadaan yang tidak sihat sepenuhnya.

JACLYN hampir tidak mahu menyertai GV9 kerana mengalami masalah hidung sensitif yang kronik.
JACLYN hampir tidak mahu menyertai GV9 kerana mengalami masalah hidung sensitif yang kronik.

Katanya, dia hampir-hampir tidak dapat menyertai GV9 kerana berhadapan masalah hidung sensitif kepada kesejukan, habuk, asap rokok dan pencemaran udara.

"Kalau ikutkan hati saya, memang tak mahu menyertai GV9. Namun, saya akhirnya bersetuju pada penghujung tarikh yang diberikan. ini kerana banyak perkara yang bermain di fikiran memandangkan masalah sensitif berkaitan hidung dialami.

"Pengurus saya juga ada memaklumkan kemungkinan suara saya makin sengau dan tidak boleh menyanyi dengan baik apabila sudah tua.

"Jadi, saya perlu merawat dan memperbetulkan masalah dihidapi sebelum masuk bertanding. Saya jumpa doktor untuk mengubati masalah hidung ini. Saya bersyukur sejak minggu pertama sehingga melangkah ke GV akhir, sengau sudah tiada," katanya.

Pada acara yang berlangsung dari Auditorium Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad lalu, Jaclyn membuktikan keunggulan dalam pembabitannya yang menghampiri 20 tahun dalam bidang nyanyian dan muzik tidak dapat disangkal.

Pada acara kemuncak itu, Jaclyn mempersembahkan dua tugasan merangkumi solo dan 'battle'. Dia berjaya mempamerkan persembahan memukau menerusi lagu It's All Coming Back To Me Now dendangan asal Celine Dion dan This Is Me (Keala Settle).

Segmen 'battle' pula menyaksikan Jaclyn berentap dengan kumpulan V.E mendendangkan dua lagu rap, The Real Slim Shady nyanyian asal Eminem dan Sang Saka Biru (Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Alyph).

Ternyata kejayaan dan rezeki berpihak buat wanita kelahiran Setapak, Kuala Lumpur ini. Dia berjaya mengetepikan lima finalis hebat lain - Bob Yusof, Shila Amzah, Tomok, kumpulan V.E dan Hazrul Nizam.

Ditanya juga mengenai perancangannya selepas GV9 tamat, Jaclyn berkata, dia hanya mahu bercuti bersama dua anaknya, Jonah Joshiah Rivera, 7, dan Molly Marguerite Rivera, 5.

"Selepas ini, saya akan berehat dan bercuti bersama anak kerana mahu meluangkan lebih masa dengan mereka. Saya berasa amat rindu dengan mereka kerana kesibukan bertanding di GV9 lalu.

"Selama 11 minggu berjuang dalam program itu, saya akui kurang luangkan masa bersama anak kerana terpaksa melakukan persiapan untuk persembahan.

"Mujurlah, ada keluarga yang boleh tengokkan anak sepanjang saya bertanding di GV9. Jadi, apabila dah habis ini, saya boleh tumpukan perhatian kepada mereka. Hiburkan anak pula," katanya.

Difahamkan juga, Jaclyn bercadang membahagikan sebahagian wang kemenangannya itu secara sama rata buat kedua-dua anaknya untuk simpanan mereka. Katanya, itu perkara biasa yang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 6:00 AM