JACLYN Victor tidak mahu buka mulut mengenai hal peribadi.
JACLYN Victor tidak mahu buka mulut mengenai hal peribadi.
Georgie Joseph


PENYANYI Jaclyn Victor, 41, mengakui dia lebih tabah dan bahagia walaupun sudah bercerai dengan anggota kumpulan R & B antarabangsa Az Yet iaitu Shawn Rivera, 48.

Bagaimanapun, Jaclyn ketika ditemui enggan mengulas mengenai punca perceraian itu dan memilih untuk menyimpan rapi kejadian sebenar demi kebaikan semua pihak terutama anak-anaknya.

“Bagi semua yang risau atau bertanyakan keadaan saya, saya okay. Saya sangat bahagia bersama anak-anak dan itu sudah cukup memadai.

“Ia sudah berakhir. Kalau dia (Shawn) tak cakap apa-apa, saya pun tak nak cakap apa. Saya memang tak mahu buka mulut mengenai hal peribadi. Oleh kerana dia sudah buka mulut, lagilah saya tak nak cakap apa-apa.

“Semuanya sudah berlaku. Asalkan pihak mereka, keluarga saya dan anak-anak okay, ia sudah cukup,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Gemilang itu, dia bersyukur anak-anaknya disayangi ahli keluarga namun tidak akan pernah menghalang Shawn untuk berjumpa mereka.

“Saya sedar tidak mampu memberi kasih sayang sebagai bapa buat anak-anak. Namun, saya ada adik kandung dan sepupu yang boleh boleh berbuat demikian kepada mereka.

“Apapun, Shawn tetap bapa mereka dan tidak mungkin saya akan menghalang dia berjumpa mereka. Tapi dia kena datang sini kerana saya takkan bawa anak-anak ke sana (Amerika Syarikat),” katanya.

Januari lalu, Shawn menerusi Facebook mendedahkan perkahwinannya dengan Jac sudah berakhir selepas lima tahun berkahwin dan mengakui keputusan berkenaan sangat sukar mereka.

Pasangan itu berkahwin di Philadelphia, Amerika Syarikat pada 19 Julai 2014.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Jonah Joshiah Rivera, 5, dan Molly Marguerite Rivera, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 7:27 PM