Oleh Ramlah Zainal


Lebih sedekad berkecimpung dalam bidang nyanyian, penyanyi terkenal, Jaclyn Victor mengakui masih gementar untuk beraksi di Konsert Music Of The Night dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) buat julung kalinya.

Apatah lagi, Jaclyn bakal bergandingan dengan penghibur bertaraf antarabangsa, Stephen Rahman Hughes pada konsert yang dikendalikan konduktor muzik ternama, Mustafa Fuzer Nawi itu.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 37, berkata, konsep persembahan yang akan ditampilkannya sangat berbeza kerana ia bertema klasikal.

“Saya berasa gementar kerana kali pertama menjayakan persembahan berkonsep broadway seperti ini. Apa yang mencabar, saya perlu banyak berlatih kerana teknik vokal lebih tinggi daripada yang biasa dipersembahkan.

“Lontaran suara juga perlu dikawal dengan baik supaya ia sesuai dengan konsep persembahan,” katanya.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Gemilang itu berkata, persembahan pada malam itu menampilkan susunan lagu daripada tema filem dan teater muzikal popular tempatan serta antarabangsa yang dimainkan dalam bentuk Okestra Simfoni.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah lagu tema daripada filem Star Wars, Harry Porter, Pirates Of The Caribbean dan teater muzikal Puteri Gunung Ledang.

Jaclyn ditemui pada sidang media konsert ‘Music Of The Night’ An Evening of Favourite Musical and Film Themes with National Symphony Orchestra di Istana Budaya (IB), di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Mengenai gandingannya dengan Stephen Rahman pula, kata Jaclyn, dia pernah menjayakan persembahan dengan penghibur itu.

“Kami akan menyampaikan dua lagu daripada lagu tema teater muzikal seperti Puteri Gunung Ledang, Phantom Of The Opera, Cats dan Les Miserables. Pada masa sama, kami menjanjikan yang terbaik pada malam konsert itu nanti,” katanya.

Kongsi gambar anak di laman sosial

Jika segelintir artis enggan berkongsi gambar bayi dengan peminat, ia sebaliknya buat Jaclyn kerana lebih terbuka berkongsi foto anaknya, Jonah Joshiah Rivera, tiga bulan, di laman sosial.

Penyanyi itu juga berkongsi gambar anak sulungnya yang berumur empat hari di laman Instagram miliknya, sebelum ini.

“Sebenarnya, ia terpulang kepada mana-mana individu untuk mendedahkan gambar anak masing-masing di laman sosial. Saya juga pernah terfikir tidak mahu memuatkan gambar anak di laman sosial sebelum ini tetapi sejak bergelar ibu, perasaan mahu berkongsi gambar anak dengan peminat lebih terbuka,” katanya.

Selepas bergelar ibu, Jaclyn mengakui hidupnya sudah lengkap sekarang.

“Saya seronok selepas bergelar ibu dan hidup juga lebih tenang dengan keluarga ketika ini. Apabila keluar bekerja, emaklah yang akan mengambil alih menjaga anak kami di rumah,” katanya.

Jaclyn berkahwin dengan Shawn Rivera, 41, yang juga anggota kumpulan R&B Az Yet pada 19 Julai tahun lalu di The First Unitarian Church of Philadelphia, Amerika Syarikat dan diihadiri keluarga terdekat kedua-dua pihak.

Sementara itu, Konsert Music Of The Night, National Symphony Orchestra An Evening Of Favourite Musicals & Film Themes akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya tanggal 19 Disember ini.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini berharga RM50, RM70, RM100, RM150 dan RM250.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:03 AM