JAC dan Shawn sah bercerai selepas lima tahun berkahwin. FOTO Instagram Shawn
JAC dan Shawn sah bercerai selepas lima tahun berkahwin. FOTO Instagram Shawn
Georgie Joseph

RUMAH tangga penyanyi Jaclyn Victor, 41, dengan anggota Az Yet, Shawn Rivera, 48, berakhir apabila pasangan itu sah bercerai selepas lima tahun berkahwin.

Berita perceraian itu dikongsi Shawn di Facebook, hari ini dan mengakui keputusan berkenaan sangat sukar buat kedua mereka.

“Kami sudah cuba melakukan yang terbaik untuk perkahwinan kami namun selepas tinggal berjauhan lebih setahun membuatkan kami tidak mampu sesuaikan diri dengan perbezaan masing-masing.

"Walaupun berpisah, kami takkan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Kami akan kekal komited memberikan yang terbaik buat dua anak kami supaya mereka menjadi insan berguna apabila dewasa kelak.

“Apapun yang berlaku antara saya dan Jac (Jaclyn), saya tetap menyayangi mereka. Melihat senyuman mereka, terubat segala rasa sedih dan patah hati yang saya lalui ketika ini," katanya.

Shawn bagaimanapun tidak mendedahkan punca sebenar perceraian mereka jauh sekali mahu menuding mana-mana pihak terhadap keputusan terbabit.

"Cabaran bergelar selebriti adalah kami terdedah dengan tanggapan terbuka daripada masyarakat. Sebagai manusia biasa, sudah jadi kebiasaan untuk menilai, menuding jari dan mengkritik orang lain berdasarkan perspektif terhad kita.

"Ketepikan khabar angin dan spekulasi, hanya dua orang yang berada dalam perhubungan itu saja tahu cerita sebenar. Tidak perlu untuk membuka pekung di dada kerana itu hanya akan melukakan anak kami," tulisnya.

Shawn juga meminta semua pihak supaya menghormati situasinya bersama Jac ketika ini dan mohon supaya masing-masing tidak diganggu.

Pasangan itu berkahwin di sebuah gereja bersejarah di Philadelphia, Amerika Syarikat pada 19 Julai 2014.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Jonah Joshiah Rivera, 5, dan Molly Marguerite Rivera, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 5:02 PM