Hidayatidayu Razali


Rantau Panjang: Masalah banjir bukan isu asing di pekan ini, malah berlaku puluhan tahun lamanya disebabkan kedudukan yang hampir dengan Sungai Golok yang bersempadan dengan Thailand.

Semakin rancak pembangunan, semakin kerap bencana berlaku selain faktor cuaca, yakni hujan lebat terutama ketika Monsun Timur Laut antara November hingga Mac.

Penduduk sudah lali namun mereka tetap berharap ada penyelesaian yang terbaik untuk isu itu, terutama dalam memastikan banjir surut segera dan tidak membawa kepada masalah banjir termenung.

Antara kampung yang kerap terjejas dengan banjir termenung adalah Kampung Tersang, Gual Tok Deh, Lachang dan Bongor, yang rata-rata penduduk menggambarkan masalah itu seperti tiada penghujung.

Kerunsingan utama mereka apabila limpahan air lambat surut menyebabkan tanaman rosak, haiwan ternakan terjejas dan mengganggu aktiviti harian.

Ismail Salleh, 75, dari Kampung Tersang berkata, dia pernah berhadapan banjir termenung sehingga tiga minggu, malah buntu memikirkan cara untuk 'mengeringkan' air di halaman rumah.

"Keadaan ini berlarutan dan terpaksa pula kami menggunakan jambatan kecil yang dibuat sendiri untuk keluar rumah.

"Jambatan ini akan digunakan sehingga penghujung musim tengkujuh, biasanya sekitar Februari.

"Ada juga penduduk di kampung ini terpaksa menggunakan perahu untuk memudahkan pergerakan keluar masuk dari kediaman," katanya ketika ditemui.

MOHD Irwan menggunakan sampan untuk meninjau keadaan sekitar rumah yang ditenggelami banjir  di Kampung Tersang, Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MOHD Irwan menggunakan sampan untuk meninjau keadaan sekitar rumah yang ditenggelami banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Peniaga, Mohd Irwan Rajiun, 40, pula berkata, banjir termenung menyebabkan berlaku mendapan lumpur di sekitar rumah selepas kering.

Katanya, rumah juga mudah rosak kerana kelembapan tinggi dan kerana itu ramai antara penduduk kampung yang membina rumah bertiang tinggi.

"Banjir termenung yang lama untuk surut menyebabkan kami meletakkan kenderaan di tepi jalan utama dan berhadapan risiko kecurian dan lain-lain lagi.

"Kami tiada pilihan lain, hanya bersiap sedia mengikut apa yang boleh," katanya yang memaklumkan Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) yang dibangun kerajaan beberapa tahun lalu tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah banjir termenung di kawasan itu.

Berikutan itu, dia berharap pihak berkuasa mengambil langkah lebih efisien dalam menyelesaikan masalah banjir.

Suri rumah, Zuraidah Che Senik, 45, berkata, Kampung Tersang seolah-olah menjadi kolam takungan kerana mudah dinaiki air apabila hujan lebat atau air Sungai Golok melimpah.

"Jika orang lain, banjir akan kering (surut) dalam masa beberapa hari sahaja namun saya dan beberapa penduduk di sini terpaksa menghadapi banjir termenung sehingga lebih tiga minggu.

"Keadaan ini berterusan sejak beberapa tahun lalu dan ia tiada penghujung," kata ibu kepada lapan anak itu.

Seperti penduduk lain, Zuraidah berharap langkah penyelesaian yang dapat menoktahkan masalah banjir itu, sekali gus tidak lagi menanggung kerugian setiap kali musibah bertandang.

ISMAIL berjalan melalui titi yang dibinanya bagi merentasi air banjir termenung di pekarangan rumahnya di Kampung Tersang. Kawasan terbabit berdepan banjir termenung sejak tiga minggu lalu menyebabkannya buntu memikirkan cara untuk mengeringkan air di halaman rumahnya, biarpun cuaca baik air kekal bertakung di kawasan sekitarnya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ISMAIL berjalan melalui titi yang dibinanya bagi merentasi air banjir termenung di pekarangan rumahnya di Kampung Tersang. Kawasan terbabit berdepan banjir termenung sejak tiga minggu lalu menyebabkannya buntu memikirkan cara untuk mengeringkan air di halaman rumahnya, biarpun cuaca baik air kekal bertakung di kawasan sekitarnya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR


Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 7:01 AM