Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Keterujaan untuk kembali ke sekolah mulai Ahad ini terkubur buat penduduk di Kampung Tersang, di sini, apabila segala peralatansekolah rosak ditenggelami banjir baru-baru ini.

Disebabkan banjir baru-baru ini, segala peralatan sekolah termasuk kasut, baju serta buku milik lebih 30 pelajar dan murid di kampung berkenaan rosak walaupun sudah diletakkan di tempat tinggi.

Penduduk mendakwa, banjir baru-baru ini adalah yang terburuk dalam tempoh lima tahun apabila paras air di dalam rumah mencecah lebih satu meter menyebabkan segala harta benda rosak teruk.

Penduduk, Wan Rohani Wan Salleh, 45, berkata, ketika air naik baru-baru ini, segala dokumen dan barang penting termasuk kelengkapan sekolah anak sudah diletakkan di atas para tinggi yang dibina khas untuk banjir.

WAN Rohani (kiri)  bersama dengan anaknya memeriksa peralatan sekolah yang rosak akibat ditenggelami banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WAN Rohani (kiri) bersama dengan anaknya memeriksa peralatan sekolah yang rosak akibat ditenggelami banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kami semua berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir dan sebaik kembali ke rumah, alangkah sedihnya melihat semua barang rosak ditenggelami banjir.

"Lebih sedih melihat kelengkapan sekolah anak juga rosak terutama buku sekolah. Sebelum ini mereka teruja untuk kembali ke sekolah memandangkan Kelantan sudah sekian lama belajar menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Saya dan anak-anak buntu memikirkan sekolah akan bermula Ahad ini, sedangkan semua barang sekolah sudah rosak dan ada yang hilang dibawa arus," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Rohani berkata, untuk membeli semula keperluan sekolah semestinya memerlukan kos memandangkan suaminya hanya kerja kampung dan bantuan wang ihsan RM1,000 diperoleh memadai untuk membeli barang dapur.

"Saya mempunyai empat anak yang masih bersekolah iaitu seorang Tingkatan Tiga yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok, manakala tiga lagi bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To' Deh.

"Saya ada beritahu anak supaya pakai baju biasa sahaja untuk ke sekolah, namun anak-anak tidak mahu kerana malu dengan kawan-kawan," katanya.

SEBAHAGIAN rumah penduduk Kampung Tersang masih terkesan banjir termenung berikutan air belum surut sepenuhnya hingga kini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN rumah penduduk Kampung Tersang masih terkesan banjir termenung berikutan air belum surut sepenuhnya hingga kini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, penduduk, Marlina Abdul Rahman, 41, turut mengalami situasi sama apabila segala kelengkapan persekolahan tiga anaknya turut rosak dan hilang akibat banjir.

"Banjir baru-baru ini adalah yang terburuk dalam tempoh lima tahun apabila habis segala peralatan dalam rumah tenggelam.

"Jika sebelum ini barang penting yang diletakkan di atas para kayu yang tinggi tidak tenggelam. Namun kali ini semuanya rosak ditenggelami banjir.

"Tiada apa yang boleh diselamatkan. Sedih melihat buku-buku sekolah anak yang rosak sedangkan sekolah akan dibuka tiga hari lagi.

"Saya buntu dan tidak tahu bagaimana untuk membuat persiapan sekolah anak. Daripada teruja kembali sekolah kini menjadi sedih dan pilu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 12:09 PM