Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Sepanjang lebih 50 tahun saya tinggal di sini, hari ini sejarah kerana air banjir naik tiga meter sehingga menenggelamkan jalan utama kampung," kata Yah Umat, 78, mengulas mengenai banjir di Kampung Tersang di sini.

Dia antara warga emas paling lama menetap di kampung itu dan menunggu masa untuk dipindahkan.

Seramai 300 penduduk membabitkan 58 keluarga terjejas akibat banjir.

Yah menyifatkan banjir yang berlaku agak luar biasa kerana limpahan air deras dan dalam, malah sebelum ini air tidak pernah memasuki kediaman kecuali di pekarangan kerana rumah dibina tinggi.

"Tak pernah terjadi air masuk sampai ke ruang tamu hampir satu meter dalam banjir terdahulu. Sekarang saya menunggu masa sahaja untuk berpindah ke kawasan selamat dengan dibantu anak bongsu (Zulhairi Awang Senik, 25).

"Jika paras air terus meningkat bimbang juga keselamatan diri. Saya sudah tidak kuat untuk berjalan mengharung air sejauh satu kilometer (km) jadi terpaksa meminta bantuan anak-anak bawa saya dengan perahu," katanya ketika ditemui di kawasan rumahnya di Kampung Tersang, di sini hari ini.

Yah Umat terpaksa berpindah susulan paras air terlalu tinggi  dan deras sehingga menenggelami rumahnya di Kampung Tersang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Yah Umat terpaksa berpindah susulan paras air terlalu tinggi dan deras sehingga menenggelami rumahnya di Kampung Tersang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Tinjauan di kawasan itu mendapati rata-rata penduduk mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan perahu dan membawa barang penting ke tempat selamat.

Sementara itu, Din Abdul Rahman, 57, berkata, sudah biasa dengan bencana banjir kerana ia berlaku hampir setiap tahun tetapi agak terkejut kerana agak lain daripada tahun sebelumnya.

"Penempatan kami memang terlalu dekat dengan Sungai Golok iaitu 50 meter sahaja, jadi paras sungai naik, mudah berlaku banjir di sini dahulu berbanding kawasan lain.

"Apa yang jadi hari ini boleh dikatakan sejarah kerana pertama kali paras air begitu tinggi. Panik juga fikir keselamatan diri dan rumah yang nak ditinggalkan," katanya yang berharap banjir surut segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 3:17 PM