DARI kiri: Nur Aiman, Ivan Ramiro Sosa,  Erland Blikra dan Sainbayar di atas podium. FOTO Fathil Asri
DARI kiri: Nur Aiman, Ivan Ramiro Sosa, Erland Blikra dan Sainbayar di atas podium. FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Langkawi: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff berjaya mempertahankan jersi merah (Raja Bukit) Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dimenanginya pada 2020 selepas saingan tahun ini melabuhkan tirai, hari ini.

Jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan pula menjadi milik pelumba Movistar, Ivan Ramiro Sosa yang mengumpul masa keseluruhan selepas lapan peringkat 25 jam 54.00 saat (s).

Pada peringkat terakhir (kelapan) sejauh 115.9 kilometer (km) bermula dan berakhir di pekan Kuah, ia menjadi milik Alex Molenaar dari Burgos-BH sekali gus menafikan cubaan Alpecin-Deceuninck yang hampir memburu kejuaraan kali keempat.

Pelumba Alpecin-Deceuninck, Jason Osborne sekadar menduduki tempat kedua, manakala Juan Sebastian Molano dari UAE Team Emirates, ketiga.

Sementara itu, Aiman yang mula menyarung jersi merah sejak peringkat kedua berkata, dia sangat gembira dapat mengekalkan jersi merah sekali gus memegang status Raja Bukit buat kali kedua berturut-turut.

"Syukur Alhamdulillah saya dapat kekal jersi ini buat kali kedua berturut-turut dan mempertahankannya sejak di peringkat kedua sampai terakhir, di mana ketika itu pelbagai halangan perlu ditempuh.

"Saya sangat gembira kerana dapat bertahan walaupun perlumbaan hari ini sengit dan laju sampai habis. Saya cuma berjaga-jaga agar pelumba yang hampir mata dengan saya tidak melakukan breakaway.

"Jadi bila semua pelumba ini masih jauh saya berasa lega dan hanya perlu berada dalam keadaan bersedia ketika melengkapkan pusingan.

"Ini satu sejarah pelumba Malaysia berjaya meraih jersi merah dua kali berturut-turut tatkala saingan kali ini sangat bermakna dengan kehadiran enam pasukan WorldTeam tapi saya masih boleh buat sesuatu di laman sendiri," katanya yang meraih 29 mata.

Seorang lagi pelumba TSG, Jambaljamts Sainbayar turut meraih mata sama namun Aiman lebih banyak berada di depan ketika di zon pendakian sepanjang perlumbaan.

Bagaimanapun, Sainbayar berjaya mengubati kekecewaan dengan meraih jersi putih (Terbaik Asia).

Sosa yang menamatkan penantian pelumba Colombia dan benua Amerika Selatan meraih jersi kuning selepas kali terakhir dilakukan Julian David Arredondon (Team Nippo - De Rosa) pada 2013 mengakui perlumbaan hari ini sangat laju namun berjaya mengekalkan di kedudukan selamat. "Perlumbaan hari ini sangat laju dan kami sukar untuk mengejar namun pada akhirnya kami berjaya mendapat keputusan yang diinginkan. "Ia penamat yang baik buat saya musim ini kerana dapat meningkatkan keyakinan untuk menempuhi musim baharu," katanya yang dibezakan 23 saat dengan pelumba EF-Education EasyPost, Hugh Carthy.

Jersi hijau selaku Raja Pecut diraih juara peringkat keenam, Erlend Blikra dari Uno-X Pro Cycling yang mengumpul 49 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 6:14 PM