DARI kiri jersi merah Muhamad Nur Aiman, jersi kuning Ivan Ramiro Sosa, jersi hijau Erland Blikra dan jersi putih Jambaljamts Sainbayar. FOTO Fathil Asri
DARI kiri jersi merah Muhamad Nur Aiman, jersi kuning Ivan Ramiro Sosa, jersi hijau Erland Blikra dan jersi putih Jambaljamts Sainbayar. FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tiada pendakian di Gunung Raya pada peringkat ketujuh Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 hari ini ternyata melegakan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff apabila masih lagi mengekalkan jersi merah (Raja Bukit).

Laluan yang sepatutnya bermula di pekan Kuah dan berakhir di puncak Gunung Raya itu terpaksa diubah pihak penganjur susulan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di sini semalam.

Ini menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu semakin hampir untuk mengulangi pencapaian 2020 dengan syarat mampu mempamerkan kayuhan bertenaga di peringkat terakhir esok terutama di zon pendakian.

Dia terikat 29 mata dengan rakan sepasukan, Jambaljamts Sainbayar, dan diekori rapat Ivan Ramiro Sosa (Movistar) yang mengumpul 25 mata.

"Satu kelegaan juga untuk saya apabila laluan Gunung Raya diubah, dan saya masih ada peluang untuk mengekalkan jersi ini (merah) dan mungkin menang, jadi saya ketika saya cuma perlu berwaspada dengan kutipan mata saya.

"Sainbayar kini fokus dengan jersi putih (Terbaik Asia), begitu juga dengan Sosa (pendahulu keseluruhan), jadi ancaman saya adalah pelumba dari United Kingdom dan Australia (Hugh Carthy dan Carter Bettles) kerana jurang mata mereka dengan saya juga tidak begitu jauh.

"Saya jangkakan perlumbaan akan lebih mencabar, tambahan pula mereka pelumba yang agresif, saya perlu berjaga-jaga dan sentiasa mengekori rapat mereka untuk mereka tidak memintas mata saya dalam perebutan jersi merah," jelas Aiman yang berusia 25 tahun.

Peringkat kelapan yang juga peringkat terakhir bakal berlangsung esok menggunakan laluan sama dan menawarkan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian dengan jarak sejauh 115.9 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 6:06 PM