BLIKRA memenangi peringkat keenam. FOTO Fathil Asri
BLIKRA memenangi peringkat keenam. FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Alor Setar: Selepas lima peringkat mencuba akhirnya tuah berjaya menjadi milik pelumba Uno-X Pro Cycling Team, Erlend Blikra apabila muncul juara di Alor Setar hari ini.

Lebih manis ia adalah kemenangan sulung pelumba berusia 25 tahun itu dalam saingan profesional apabila terlebih dulu melintasi garisan penamat peringkat keenam Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari Georgetown ke Alor Setar sejauh 120.4 kilometer.

Blikra yang meraih tempat kedua di peringkat pertama, berjaya mengetepikan pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa dan Rudiger Selig (Lotto Soudal) dalam penamat beramai-ramai hari ini.

"Kami mencuba setiap hari (untuk meraih kejayaan) dan akhirnya kami berjaya, ia sangat menakjubkan," katanya yang menjadi pelumba kedua Norway meraih kejayaan peringkat selepas kali terakhir dilakukan Bjonar Vestol dari Acceptcard Cycling pada 1999.

Dia yang turut merampas jersi hijau (Raja Pecut) hari ini selepas memungut 40 mata mengakui saingan hari ini kurang sengit mungkin disebabkan cuaca hujan.

"Atau mungkin mereka kepenatan kerana tiada siapa mahu menyambar peluang ini namun saya juga melakukan pecutan awal dengan tiada siapa mampu memintas saya.

"Hari ini kami sudah melupakan kekecewaan lalu, kami mahu meraikan kejayaan dan berasa sangat gembira.

"Ia juga sangat emosional buat saya kerana ini kejayaan pertama dalam saingan profesional," katanya yang lahir di Stavanger, Norway.

Sementara itu, jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan kekal menjadi milik pelumba Movistar, Ivan Ramiro Sosa dengan catatan masa 21 jam 6:032 saat (s), dengan Hugh Carthy dari EF Education-EasyPost ketinggalan 0:23s.

Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff juga kekal memegang jersi merah (Raja Bukit), manakala rakan sepasukannya, Jambaljamts Sainbayar terus mempertahankan jersi putih (Terbaik Asia).

Esok saingan peringkat kelapan akan berlangsung dari Pekan Kuah ke Gunung Raya sejauh 90.8 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 2:45 PM