MOLANO (dua dari kiri) muncul juara Peringkat Kedua LTdL 2022 dari Kuala Klawang ke Raub, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
MOLANO (dua dari kiri) muncul juara Peringkat Kedua LTdL 2022 dari Kuala Klawang ke Raub, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
Ferzalfie Fauzi


Raub: Pelumba UAE Team Emirates, Juan Sebastian Molano muncul juara peringkat kedua Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari Kuala Klawang ke Raub sejauh 178.9 kilometer (km), hari ini.

Bagaimanapun, jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan kekal milik Gleb Syritsa dari Astana Qazaqstan Team yang menamatkan perlumbaan paling jauh untuk edisi ke-26 ini, di tempat ketiga.

Tempat kedua milik pelumba ARA Pro Racing Sunshine, Craig Wiggins.

"Saya gembira dengan kemenangan ini dan terima kasih kepada seluruh pasukan. Saya melalui hari yang baik.

"Kemenangan ini untuk pasukan dan penting buat saya," kata Molano yang meraih kejuaraan kali ke-20 dalam kariernya.

Ditanya mengenai strategi perlumbaan, pelumba pasukan berstatus WorldTeam itu mengakui tidak berdepan masalah ketika menuju ke garisan penamat.

Bagaimanapun, jersi merah untuk gelaran Raja Bukit berjaya dirampas pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff.

Aiman merampas jersi berkenaan daripada rakan sepasukannya, Jambaljamts Sainbayar selepas menakluk dua zon pendakian.

Dia yang juga Raja Bukit edisi 2020 terlebih dulu melintasi garisan zon pendakian di Petaseh dan Bukit Damar.

Peringkat ketiga dari Putrajaya ke Genting Highlands sejauh 123.7km dengan menawarkan pendakian berstatus Hors akan berlangsung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 6:24 PM