MARECZKO meraikan kejayaan ungguli peringkat keempat. FOTO Fathil Asri
MARECZKO meraikan kejayaan ungguli peringkat keempat. FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Ipoh: Pengalaman beraksi dan pernah memenangi perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) sebelum ini membantu pelumba Alpecin Deceuninck, Jakub Mareczko menawan peringkat keempat bagi saingan 2022.

Ini kali keempat Mareczko, meraih kejuaraan peringkat selepas melakukannya dua kali pada 2017 dan sekali ketika 2016.

Pelumba berusia 28 tahun itu meraih kejuaraan kali ke-47 sepanjang kariernya selepas tiba di garisan penamat dengan catatan tiga jam 15 minit 37 saat (s) sekali gus berjaya mengetepikan Rudiger Selig (Lotto Soudal) dan Edourd Michael Grosu (Drone Hopper-Androni Giocattoli).

Menurut pelumba Itali itu, dia berasa gembira dapat muncul juara peringkat keempat dari Sabak Bernam menuju ke Meru, Ipoh.

"Kami sangat gembira dapat memenangi banyak peringkat perlumbaan di sini. Saingan hari ini juga berjalan lancar, tidak hujan dan semunya berjalan seperti yang dirancang. Kami akan terus memburu lebih banyak kemenangan," katanya selepas tamat perlumbaan sebentar tadi.

Sementara itu, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team's (TSG) Jambaljamts Sainbayar, menyapu bersih ketiga-tiga zon pecutan yang ditawarkan di Hutan Melintang, Kampung Gajah dan Tanjung Tualang .

Sainbayar hanya kurang satu saat di belakang Andrey Zeits (Astana Qazaqstan Team) untuk kedudukan jersi putih (Terbaik Asia).

Tiada perubahan bagi jersi kuning (pendahulu keseluruhan) yang masih kekal milik Ivan Ramiro Sosa (Movistar), manakala jersi hijau terus disandang Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team).

Seorang lagi pelumba TSG, Muhammad Nur Aiman Zariff juga terus kekal menyarung jersi merah selaku Raja Bukit.

Esok peringkat kelima akan bermula dari Kuala Kangsar ke Kulim sejauh 172 kilometer dengan menawarkan tiga zon pecutan (Lenggong, Selama dan Karangan) dan satu zon pendakian (Sumpitan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 7:45 PM