LIONEL Taminiaix memenangi perlumbaan peringkat ke 5, Kuala Kangsar ke Kulim sejauh 172km pada Le Tour de Langkawi 2022. FOTO Fathil Asri
LIONEL Taminiaix memenangi perlumbaan peringkat ke 5, Kuala Kangsar ke Kulim sejauh 172km pada Le Tour de Langkawi 2022. FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Kulim: Pelumba Alpecin-Deceuninck, Lionel Taminiaux muncul juara peringkat kelima Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari Kuala Kangsar ke Kulim yang merangkumi jarak 172 kilometer (km) sebentar tadi.

Dia yang berusia 26 tahun berjaya mengetepikan Julius van den Berg (EF Education-EasyPost) dan Carter Bettles dari Ara Pro Racing Sunshine Coast.

Taminiaux yang berasal dari Belgium meraih kemenangan ketiga dalam kariernya selepas muncul juara Trophée Harmonie Mutuelle (2019) dan juara peringkat keempat Grand Prix des Hauts de France tahun ini.

"Ia satu perjudian untuk melakukan pecutan terakhir secara solo dan pada 15 meter terakhir saya mengawal kayuhan dengan baik untuk muncul juara.

"Ia memang sukar tapi semuanya berjalan lancar. Walaupun kami berpeluang untuk muncul juara sejak peringkat pertama lagi, begitu juga peringkat kedua kami terlepas.

"Semalam Jakob (Mareczko) menang. Hari ini saya mengambil peluang dan semuanya berjalan dengan lancar," kata Taminiaux.

Sementara itu pelumba Movistar Team, Max Kanter berjaya merampas jersi hijau selepas mengungguli dua zon pecutan di Selama dan Karangan.

Dia sekarang ini memungut 31, manakala Taminiaux 30 mata dan diikuti pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syrista.

Manakala jersi merah untuk gelaran Raja Bukit kekal milik Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff, namun dia berkongsi 29 mata dengan Jambaljamts Sainbayar yang mengungguli zon pendakian di Bukit Sumpitan hari ini.

Jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan kekal milik Ivan Ramiro Sosa dari Movistar Team.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 4:58 PM