FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pengguna tegar media sosial Instagram dan YouTube pasti pernah melihat iklan mengenai platform pelaburan OctaFX yang terkenal di seluruh dunia dan dikaitkan dengan pelaburan tukaran mata wang asing.

Malah, platform pelaburan itu bertindak menghubungkan antara pengeluar dengan pengguna dan pelanggan boleh membuka akaun dengan syarikat itu pada bila-bila masa serta boleh terus berdagang di dalam talian.

Syarikat perkhidmatan dagangan itu kini dikesan giat mempromosi produk mereka dengan menggunakan tiga selebriti terkenal dalam usaha menarik lebih ramai pelanggan terutama dalam kalangan peminat selebriti terbabit.

Setakat ini, sambutan pelanggan dalam pelaburan mata wang asing ini adalah baik kerana tawaran keuntungan adalah tinggi.

Namun, Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru sudah mengeluarkan kenyataan mengenai status platform pelaburan OctaFX yang kini memasuki senarai amaran institusi berkenaan.

Senarai itu terdiri daripada syarikat dan laman web yang tidak dibenarkan atau diluluskan di bawah undang-undang dan pentadbiran berkaitan yang ditadbir oleh BNM.

"Sila maklum senarai ini tidak lengkap dan hanya berfungsi sebagai panduan kepada orang ramai berdasarkan maklumat dan pertanyaan yang diterima oleh BNM.

"Syarikat berikut ditambahkan ke dalam senarai adalah OctaFX," tulis kenyataan berkenaan.

Terdahulu, sebelum BNM, Suruhanjaya Sekuriti (SC) turut memasukkan OctaFX dalam senarai Amaran Pelabur atas alasan kemungkinan skim pelaburan haram klon yang menawarkan pulangan tinggi.

Untuk rekod, OctaFX adalah broker antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan dagangan dalam talian di seluruh dunia sejak 2011.

Difahamkan, OctaFX dikawal selia dan memegang lesen di luar negara, bagaimanapun menyediakan sokongan deposit dan pengeluaran ke akaun bank di Malaysia.

Wartawan juga sedang cuba menghubungi selebriti terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pembabitkan mereka sebagai duta produk syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 12:00 PM