Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pemilik sebuah syarikat membuat laporan polis mendakwa nama dan logo syarikatnya digunakan untuk mempromosikan skim pelaburan 'Xfox Mix Biz'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pengadu terbabit menafikan pengetahuan mahupun pembabitan syarikatnya dengan skim pelaburan terbabit.

"Semakan dilakukan mendapati tiada laporan polis diterima daripada mana-mana individu yang menjadi mangsa skim pelaburan berkenaan setakat ini.

"Justeru itu, pihak polis menggesa mana-mana individu yang menyertai skim pelaburan berkenaan untuk tampil membuat laporan polis dengan segera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, masyarakat diingatkan supaya tidak mempromosikan pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat dalam usaha membendung kegiatan penipuan.

"Semakan terperinci dengan agensi kerajaan berkaitan perlu sentiasa dilakukan sebelum membuat keputusan menyertai skim pelaburan tertentu.

"Dapatkan nasihat serta maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, portal Semak Mule, senarai amaran Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai skim pelaburan meragukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 9:55 AM