BANGUNAN Bank Negara di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Bank Negara di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) menyita aset RM21.4 juta milik individu terbabit kes pengambilan deposit secara haram yang disiasat pihaknya dalam tempoh empat tahun.

Jurucakap BNM berkata, kes yang disiasat itu bermula 2018 hingga 2021 di mana ada yang menerima hukuman termasuk penjara antara enam bulan ke 10 tahun termasuk dikenakan denda berjumlah RM1 juta ke RM298 juta.

Menurutnya, bagi tempoh sama juga 15 kes pengambilan deposit secara haram berada di bawah siasatan dan pemantauan oleh BNM.

"Skim kewangan haram secara umumnya merujuk pelbagai aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang dan menawarkan pelaburan serta menjanjikan pulangan dalam tempoh tertentu.

"Skim kewangan haram juga boleh melibatkan elemen penipuan, melalui pelbagai modus operandi serta manipulasi perkembangan teknologi terkini melalui jangkauan platform media sosial (seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram) dan urus niaga mata wang kripto," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kes-kes pengambilan deposit secara haram berada di bawah bidang kuasa BNM.

"Ia merujuk apa-apa perolehan, penerimaan atau pengambilan deposit tanpa lesen daripada mana-mana pihak dan bertentangan dengan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013 dan Seksyen 149(1) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013.

"Skim Cepat Kaya adalah salah satu skim pengambilan deposit secara haram di mana penipu akan menawarkan peluang pelaburan kepada mangsa dengan mengutip deposit dengan janji pulangan pelaburan dalam tempoh tertentu dan jumlah prinsipal pelaburan akan dikembalikan," katanya.

Katanya, individu yang disabitkan kesalahan yang berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai boleh merujuk laman sesawang BNMSenarai Amaran Pengguna Kewangan dan Senarai Amaran Penipuan Kewangan untuk

menyemak syarikat dan sebagai panduan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai entiti atau skim yang telah disalah anggap atau kelihatan sebagai

entiti atau skim berlesen atau dikawal selia oleh BNM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 2:24 PM