GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendedahkan, sekurang-kurangnya RM24.7 juta kerugian dialami mangsa akibat penipuan firma klon, setakat ini.

Berdasarkan kerugian itu, SC mengesan ada mangsa menyalurkan sehingga RM3.6 juta dalam satu akaun bank keldai dadah yang bersubahat dengan penipuan itu.

"Penipuan ini sudah menjana pendapatan yang besar memandangkan jumlah mangsa yang ramai. Dalam salah satu penipuan, kira-kira RM3.6 juta akan disalurkan ke dalam satu akaun bank keldai dadah dalam tempoh enam bulan.

"Malah berdasarkan 154 penyata bank yang disemak, SC juga mendapati bahawa, secara keseluruhan sekurang-kurangnya RM24.7 juta mungkin sudah beralih ke tangan dalang penipuan itu.

"Penipuan firma klon ini turut mensasarkan mangsa dan pelabur yang mahu membuat pelaburan kecil tetapi menjangkakan pulangan besar dalam tempoh yang singkat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SC menjelaskan, selepas melakukan siasatan terhadap 10 firma klon itu, mereka mengesan tiga modus operandi utama yang digunakan dalam penipuan berkenaan, selain penyamaran sebagai sebuah entiti syarikat yang sah atau berlesen, menggunakan nama, logo syarikat senaraian awam (PLC), kelayakan korporat dan laman web bagi menipu pelabur dan mendapatkan dana.

"Siasatan SC menunjukkan bahawa modus operandi ini biasanya membabitkan pemasangan iklan di media sosial seperti Facebook untuk memancing pelabur dengan pakej pelaburan yang menjamin pulangan yang tinggi dan biasanya diuruskan oleh 'perantara berlesen'.

"Selain itu, firma ini juga menggunakan sejumlah besar 'ejen' untuk menarik mangsa yang berpotensi dan meminta pelaburan menggunakan WhatsApp sahaja sebaik mangsa menekan pautan disediakan.

"Modus operandi lain yang dikesan, adalah meminta mangsa untuk mendepositkan wang untuk 'skim pelaburan' ke dalam akaun bank yang dipegang oleh pemegang keldai akaun bertujuan untuk mencuci wang haram yang diterima itu," katanya.

Beliau menjelaskan, disebabkan ramai mangsa hanya kehilangan sejumlah kecil wang, mereka enggan tampil untuk bekerjasama dalam siasatan SC.

"Daripada 24 mangsa yang dikenal pasti, 15 daripadanya enggan memberi kerjasama dengan SC. Bagi membanteras aktiviti haram ini, SC sedang menyemak bukti sedia ada dan mempertimbangkan pelbagai pilihan penguatkuasaan terhadap mereka yang terbabit dalam penipuan firma klon," katanya.

SC menasihati pelabur untuk memainkan lebih peranan termasuklah berwaspada dan menyemak kesahihan setiap peluang pelaburan yang ingin disertai.

"Paling penting adalah pelabur dinasihatkan untuk tidak menyimpan wang ke dalam akaun bank peribadi mana-mana individu sekiranya diminta berbuat demikian.

"Rujuk Senarai Makluman Pelabur SC atau periksa laman web Semak Mule di https://semakmule.rmp.gov.my/ untuk atau menghubungi Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di 03-6204 8999 atau e-mel [email protected] untuk membuat laporan mengenai penipuan yang disyaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 8:03 PM