SAKINAH belum merancang cahaya mata baru.
SAKINAH belum merancang cahaya mata baru.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Sharifah Sakinah yang berkahwin dengan lelaki Sweden, Michael Hansen belum mempunyai perancangan mendapatkan cahaya mata.

Malah, Sakinah, 33, atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata, dia tidak pernah ditanya atau mendapat tekanan itu daripada keluarga suaminya.

"Secara logiknya tak ada perancangan lagi untuk anak baru. Sebab saya ini jenis suka berada dengan suami. Kalau saya mengandung saya nak anak dan suami sentiasa ada dekat saya. Jadi, perkara itu saya tak boleh dapat dalam kehidupan saya.

"Saya membuat keputusan tak merancang untuk mengandung lagi. Suami pun dah tua, maksudnya kalau umur dah 40 tahun ke atas tak nak anak masih kecil.

"Orang di sana tak macam orang kita. Mereka tak tanya pun bila nak dapat cucu. Di sana tak, tak ada tanya semua itu. Mereka macam biasa saja. Kadang-kadang bercakap pun tidak," katanya.

Menurut Sakinah yang mempunyai anak perempuan, Anais Adha, 5, hasil perkahwinan terdahulu, dia mahukan kehidupan lebih tenang.

Bagi Sakinah, ketenangan itu lebih penting tanpa perlu mengharapkan pasangan untuk semua perkara.

"Secara asasnya adalah diri sendiri. Saya tahu tanggungjawab saya dan dia pun tahu tanggungjawab dia. Jadi, saya rasa ketenangan itu datang dari situ. Saya tak nak tenaga habis disebabkan bergaduh saja.

"Saya rasa perlu menikmati masa sekarang ini dan kurangkan fikir masa depan dan masa lalu. Saya dah penat. Walaupun saya 'drama', tapi dalam kepala saya tak pun sebenarnya. Kalau tak, saya layan netizen dan hidup menjadi sedih. Saya hanya mahu begitu dalam hidup. Saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang walaupun jauh," katanya.

Dalam masa sama, Sakinah menafikan dia yang mengambil keputusan mengikut suaminya tinggal di Sweden adalah untuk lari daripada kecaman netizen Malaysia.

"Kalau nak tenang di mana-mana pun boleh cuma kalau nak lari daripada orang Malaysia, media sosial itu tetap ada. Di sini pun tak ada orang 'serang' saya, kawan-kawan wartawan tanya perkara yang baik.

SAKINAH tiada tekanan daripada mentua mahupun perancangan mendapatkan cahaya mata.
SAKINAH tiada tekanan daripada mentua mahupun perancangan mendapatkan cahaya mata.

"Kalau kamu rasa netizen memberi masalah dalam hidup, jangan main media sosial. Bagi saya netizen tak beri langsung perkara itu. Kadang-kadang saya baca komen yang melampau, tapi itu adalah risiko kita, kalau tak nak jangan 'post'," katanya.

Berkongsi mengenai kehidupan harian di sana, Sakinah lebih banyak mengajar senaman secara dalam talian.

"Di sana saya bersenam sebab kelas saya itu setiap hari. Jadi, memang kami buat virtual. Saya bekerja juga di sana sambil makan-makan. Di sana pun tak mewah sangat kehidupan. Mereka tak ada lelaki, tak ada perempuan. Mereka sama saja. Mereka tak akan menilai apa-apa dan buat hal sendiri saja.

"Kita tak malu kalau nak beritahu yang kita tak kerja dan sebagainya. Jadi, saya rasa macam biasa dan sekarang ini menjalani rawatan yang akan menguatkan saya punya fokus lagi. Di situ juga saya kurang mengambil ubat sebab tak ada penggambaran. Jadi, masa itu buah pinggang saya dapat rehat dan ia seronok.

"Bila bangun pagi saja saya akan jogging sebab saya tak perlu pergi bekerja dan perlukan daya fokus yang sangat tinggi hanya duduk, makan dan bersenam. Memang seimbang sebab sekarang saya duduk sini buat penggambaran saja selama enam bulan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sakinah berkongsi masih aktif berlakon dan pulang ke tanah air jika mendapat tawaran itu.

"Alhamdulillah masih ada orang yang tawarkan untuk berlakon. Saya masih ambil tawaran itu sebab ada perkara yang perlu dibayar dan minat saya masih untuk berlakon. Saya suka pergi lokasi penggambaran, bergelak ketawa dengan kawan-kawan dan 'drama' di luar set itupun saya masih perlukan sebab saya seorang yang kuat 'drama'.

"Walaupun saya di sana, tapi Twitter saya masih 'trending' di Malaysia sebab di sana tak ada 'drama'. Saya tidak meninggalkan terus Malaysia, sebab itu saya cakap dalam program Paknil itu yang saya pergi sekejap. Saya bukan kacang lupakan kulit, bukan jenis yang baru dua hari tak balik dah tak pandai cakap Melayu, bukan. Saya suka ulang-alik dan di sana pun saya kurang gunakan media sosial, itu yang lebih penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 6:40 AM