GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Seorang guru mengajar al-Quran berbangsa Rohingya ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan remaja perempuan.

Suspek ditahan petang kelmarin dalam serbuan di Kampung Sat, di sini, selepas menerima laporan berkaitan orang hilang membabitkan remaja autistik yang dilaporkan di Kulai, Johor.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berpandukan kedudukan mangsa yang sempat menghantar lokasinya melalui telefon bimbit kepada ahli keluarganya, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah membuat serbuan pada 2.15 petang.

"Menurut keterangan mangsa, pada 9.30 malam Sabtu lalu, dia dibawa oleh seorang lelaki Rohingya (suspek) yang dikenalinya melalui aplikasi Whatsapp menaiki bas dari Skudai, Johor ke Tanah Merah.

"Mangsa juga memaklumkan sepanjang 14 hingga 18 Ogos lalu, dia dirogol oleh suspek beberapa kali dan sebaik diselamatkan pihak berkuasa pada petang kelmarin, dia dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, suspek yang berusia 23 tahun dikatakan mengajar al-Quran dan semakan kesahihan sudah dibuat.

Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 10:20 PM