Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Mahu tunjuk 'gedebe' dengan membawa parang ketika kehadiran kumpulan lelaki yang disangka geng sindiket mengundang padah.

Lelaki berusia 25 tahun tidak menyedari bahawa rumahnya di Kampung Bukit Panau, Tanah Merah di sini, digempur pasukan polis dalam kejadian jam 4 pagi semalam susulan serbuan membabitkan sindiket mencuri motosikal.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata sindiket mencuri motosikal tumpas apabila lima lelaki ditahan dalam dua serbuan di Tanah Merah dan Pasir Mas, awal pagi semalam.

Menurutnya, lima lelaki berusia 21 hingga 29 tahun itu itu ditahan dalam dua serbuan berasingan termasuk di Kampung Pohon Gelugor, Jalan Chetok, Pasir Mas.

"Ketika serbuan pertama, anggota didatangi seorang lelaki yang muncul secara tiba-tiba dalam keadaan mencurigakan sambil membawa parang. Lelaki itu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis.

"Anggota berjaya menahan lelaki terbabit dan selain parang, polis turut menemui pistol dan 13 peluru.

"Semua suspek kemudian ditangkap untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah bagi siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya positif dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, empat daripada suspek ditahan reman sehingga 9 November, manakala seorang lagi suspek yang memiliki senjata selain gagal mengemukakan kad pengenalan diri direman sehingga 12 November untuk siasatan lanjut.

"Kes ini disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958, Seksyen 25(1)(N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPN)1990.

"Hasil serbuan ini juga, anggota turut merampas antaranya kereta Perodua Alza, empat motosikal termasuk peralatan yang digunakan untuk kegiatan mencuri.

"Selain itu, turut dirampas lapan pil kuda disyaki untuk kegunaan sendiri," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki turut berkongsi kejayaan anggota menahan seorang suspek lelaki yang peniaga berumur 34 tahun, bersama sepucuk pistol dan 27 peluru dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Lubok Jong, Pasir Mas, Khamis lalu.

Menurutnya, suspek yang juga memiliki dua pil kuda itu ditahan reman selama seminggu sehingga 9 November, serta kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 4:44 PM
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) bersama pegawainya  menunjukkan dua pucuk pistol dan 40 butir peluru serta  peralatan yang digunakan untuk kegiatan mencuri di dua serbuan berbeza di jajahan Tanah Merah dan Pasir Mas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dua pucuk pistol dan 40 butir peluru serta peralatan yang digunakan untuk kegiatan mencuri di dua serbuan berbeza di jajahan Tanah Merah dan Pasir Mas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR