KOTA BHARU: Seorang lagi individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat guru al-Quran di Kampung Dendong, Jeli minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Ahmad Taufek Abdullah berkata, lelaki berumur 54 tahun itu yang beralamat terakhir di Tanah Merah ditahan di kedai kopi di Kampung Batu melintang, Jeli pada 5 petang semalam.

"Kita akan cari orang terakhir yang berjumpa dengan mangsa bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Ahmad Taufek berkata, suspek kini direman selama tujuh hari.

Seorang individu berumur 52 tahun ditahan Jumaat lalu dan turut direman.

Pihak polis sedang menyelesaikan kes berhubung kematian Ruziah Saupi, 50, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu sebelum ditemui mati pada Khamis lepas di tebing Sungai Pergau, Batu Melintang. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 3:55 PM